Rabu, 30 Disember 2015 | 6:59pm

Kekurangan oksigen punca ikan mati di Sungai Melaka

KERJA pembersihan bangkai ikan di sepanjang Sungai Melaka berdekatan Taman Rumpun Bahagia, Melaka. - Foto Rasul Azli Samad
KERJA pembersihan bangkai ikan di sepanjang Sungai Melaka berdekatan Taman Rumpun Bahagia, Melaka. - Foto Rasul Azli Samad

MELAKA: Kejadian bangkai ikan ditemui terapung di permukaan Sungai Melaka sekitar Taman Rumpun Bahagia, Bachang, Batu Berendam mulai petang semalam hingga pagi ini, disifatkan sebagai fenomena alam.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Mohamad Radzi Abdul Talib, berkata kejadian itu berpunca daripada kekurangan oksigen dalam air, menyebabkan ikan terbabit mati sebelum bangkai terapung di permukaan sungai.

Beliau menegaskan kejadian terbabit tiada kaitan dengan keracunan seperti yang didakwa penduduk yang curiga melihat insiden itu.

"Kita sedang menjalankan siasatan lanjut sebelum keputusannya dibincangkan dengan EXCO Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ar Ismail Othman.

"Ketika ini, kita berusaha membersihkan bangkai ikan dalam sungai ini secepat mungkin bagi mengelakkan menjadi punca pencemaran yang lebih teruk," katanya.

Kejadian ribuan bangkai ikan terapung menggemparkan penduduk sekitar Taman Rumpun Bahagia, Bachang, Batu Berendam, gempar apabila mendapati ribuan bangkai ikan terapung di permukaan Sungai Melaka di sini, mulai jam 6.30 petang semalam hingga pagi ini.

Tinjauan BH mendapati, ribuan bangkai ikan termasuk spesies talapia terapung, selain kelihatan tompokan dipercayai minyak di permukaan sungai itu.

Penduduk, Abdul Rahim Hanipah, 61, mendakwa kejadian terbabit bukan kali pertama berlaku di sungai berkenaan.

"Kejadian ini kerap berlaku dan apabila ada ikan mati, pasti sungai ini berbau busuk hingga menyebabkan penduduk berasa tidak selesa.

"Saya percaya kejadian berpunca akibat berlaku tumpahan sisa toksik oleh pihak tidak bertanggungjawab, sekali gus mendatangkan bahaya kepada orang awam khususnya kaki pancing dan penduduk yang menjala ikan di sini," katanya yang menetap lebih 30 tahun di kampung itu.

Penduduk, Zainab Alias, 60, mendakwa bangkai ikan yang dilihat terapung sejak semalam tanpa mengetahui punca sebenar kejadian itu.

"Kami mahu pihak berkaitan menjalankan siasatan kerana ia akan menjejaskan hidupan sungai sekiranya perkara ini berulang lagi," katanya.

ends/

Berita Harian X