Isnin, 11 Januari 2016 | 7:12pm

Tiada kes penuntut kebuluran di universiti awam

PROF Datuk Dr Adnan Hussein. - Foto ihsan USM
PROF Datuk Dr Adnan Hussein. - Foto ihsan USM

GEORGETOWN: Sekretariat Timbalan-Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) Universiti Awam (UA) hari ini menafikan terdapat kes penuntut universiti yang tidak cukup makan atau kebuluran dalam kampus di seluruh negara.

Pengerusinya, Prof Datuk Dr Adnan Hussein, berkata pihak sekretariat sentiasa mengambil berat mengenai kebajikan penuntut dan sehingga hari ini semua UA memaklumkan tiada kes penuntut kebuluran seperti yang dilapor dalam media.

"Sebagai pihak yang bertanggungjawab ke atas isu kebajikan pelajar-pelajar universiti, kami sangat terkejut dengan laporan terdapat pelajar UA yang kebuluran kerana masalah kewangan," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata laporan media mengenai perkara itu jelas hanya berasaskan hasil kajian sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ia disebarkan melalui media sosial serta boleh dipersoalkan dari segi kebolehpercayaan dan kesahihannya.

Katanya Sekretariat Timbalan-timbalan Naib Canselor HEPA UA juga kesal kerana pihak media memilih untuk mensensasikan isu penuntut kelaparan, kebuluran atau tidak cukup makan tanpa mendapat gambaran sebenar dan bimbang ada pihak yang sengaja ingin memperbesarkan isu berkenaan untuk tujuan lain.

Adnan yang juga Timbalan Naib Canselor HEPA Universiti Sains Malaysia (USM) berkata laporan itu telah menimbulkan pelbagai pandangan negatif bukan sahaja kepada pengurusan universiti yang kelihatan tidak dapat menangani isu kebajikan penuntut malah turut menjejaskan maruah penuntut sendiri.

Beliau berkata pihak media juga tidak pernah menghubungi timbalan naib canselor HEPA UA atau pegawai universiti untuk mendapatkan pengesahan kes kebuluran yang dikatakan berlaku.

Kes-kes penuntut memberi bantuan makanan kepada pelajar lain sebenarnya untuk membantu ketika berhadapan peperiksaan atau menjadi sebahagian daripada projek untuk menunjukkan keprihatinan tanpa melihat kepada kemiskinan, kebuluran dan tidak cukup makan.

Jika ada pelajar yang mempunyai masalah kewangan sehingga menyebabkan kurang atau tidak dapat makan dengan sempurna, mereka sepatutnya tampil melaporkan kepada pihak yang bertanggungjawab di universiti masing-masing, kata Adnan.

"Pihak sekretariat juga ingin memaklumkan bahawa semua UA mempunyai mekanisme untuk menangani masalah kewangan dan membantu pelajar dalam kesusahan seperti bantuan zakat, tabung kebajikan, program-program amal dan program makanan percuma yang dianjurkan pelbagai pihak di UA," katanya.

Beliau turut meminta pelajar yang mengalami masalah kewangan menghubungi pihak HEPA di UA masing-masing untuk mendapatkan bantuan yang sewajarnya. - BERNAMA

Berita Harian X