Ahad, 17 Januari 2016 | 5:20pm

991 penuntut Terengganu di Asia Barat terima zakat

MENTERI Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman (Tengah barisan depan) bersama sebahagian pelajar Terengganu yang menuntut di beberapa universiti di Timur Tengah yang menerima sumbangan zakat sebanyak RM1,500 daripada kerajaan Terengganu di Jordan. - Foto ehsan Pejabat Menteri Besar Terengganu
MENTERI Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman (Tengah barisan depan) bersama sebahagian pelajar Terengganu yang menuntut di beberapa universiti di Timur Tengah yang menerima sumbangan zakat sebanyak RM1,500 daripada kerajaan Terengganu di Jordan. - Foto ehsan Pejabat Menteri Besar Terengganu

KUALA TERENGGANU: Seramai 991 anak Terengganu yang menuntut di beberapa universiti di Asia Barat, menerima sumbangan zakat RM1,500 setiap seorang daripada kerajaan Terengganu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata sumbangan itu bagi membantu menampung perbelanjaan pengajian mereka yang mungkin terjejas akibat peningkatan kos dan kemelesetan ekonomi masa kini.

Beliau berkata, bantuan itu diharap membolehkan penuntut lebih fokus kepada pengajian masing-masing.

"Seramai 391 penerima adalah dari universiti di Jordan dan 600 lagi di Mesir. Diharap sumbangan ini digunakan sebaik-baiknya untuk menampung belanja makan minum atau pengajian," katanya yang kini berada di Jordan menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, tadi.

Ahmad Razif yang menghadiri majlis perjumpaan bersama mahasiswa Terengganu di Jordan dan Mesir, turut menyampaikan sumbangan kepada Persatuan Pelajar Terengganu (PUTRA) di Jordan.

Pada pertemuan itu, beliau mengingatkan pelajar supaya tidak terpengaruh dan terbabit dengan mana-mana kegiatan yang menyalahi undang-undang, termasuk IS.

"Kerajaan negeri komited jaga kebajikan pelajar, minta mereka fokus kepada pelajaran serta mengharumkan nama negeri dan negara. Jangan terpengaruh dan terbabit aktiviti negatif seperti IS kerana ia bukan saja merosakkan diri, tetapi memberi kesan buruk kepada orang lain," katanya.

Berita Harian X