Isnin, 25 Januari 2016 | 12:22pm

Agama ibarat bom jangka jika disalah guna

SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan hadir di Majlis Perasmian Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Pusat Konvensyen Aman Jaya, Ipoh. - Foto Muhaizan Yahya
SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan hadir di Majlis Perasmian Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Pusat Konvensyen Aman Jaya, Ipoh. - Foto Muhaizan Yahya

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, agama ibarat bom jangka yang boleh mencetuskan porak-peranda sekiranya ia disensasikan secara politik.

Baginda bertitah, agama yang digunakan selain daripada tujuan menyemaikan roh ketuhanan, boleh mencetuskan huru-hara dalam negara.

"Kesucian agama dinodai oleh mereka yang kurang memiliki hikmah dan cuba menyelit nilai, prasangka serta agenda peribadi lalu menjuarai dan mensensasikan sesuatu atas nama agama," titah baginda ketika merasmikan Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini, hari ini.

Sultan Nazrin bertitah, institusi raja Melayu mempunyai tanggungjawab besar terhadap kesucian agama Islam dan bukan sekadar simbol hiasan pemerintahan di negara ini.

Titah baginda, agama Islam adalah identiti yang tidak dapat dipisahkan dengan raja Melayu dan menjunjung tanggungjawab besar sebagai penjaga terhadap agama berkenaan.

"Institusi raja di negara ini bukan sekadar simbol hiasan tetapi diamanahkan dengan tanggungjawab pemerintahan secara adil dan menjamin kesucian Islam dipelihara," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, raja Melayu berada pada hierarki tertinggi dalam struktur pemerintahan negara dan bebas daripada afiliasi dengan mana-mana pertubuhan politik.

"Ini memberikan kelebihan kepada institusi raja untuk berperanan secara berkecuali apabila menghadapi dan dalam menangani isu berkaitan agama," titah baginda.

Berita Harian X