Selasa, 26 Januari 2016 | 12:40pm

Mangsa pemindahan air pasang meningkat

FENOMENA air pasang besar. - Foto Aswadi Alias
FENOMENA air pasang besar. - Foto Aswadi Alias

KOTA BHARU: Seramai 39 penduduk Kampung Pantai Kundur dipindahkan ke pusat pemindahan berikutan fenomena air pasang besar.

Staf Muda Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Mohd Safiyan Ibrahim, berkata semua mangsa kini ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Pantai Kundur, sejak jam 11.45 malam tadi.

Beliau berkata, semua mangsa yang dipindahkan itu membabitkan sembilan keluarga.

"Sehingga kini, seramai lapan anggota JPAM dan 11 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat ditempatkan di bilik gerakan untuk memantau keadaan banjir dan mangsa.

"Selain itu, dua jentera bomba diletakkan di kawasan sekolah untuk memindahkan mangsa banjir yang dijangka bertambah berikutan fenomena air pasang berdasarkan amaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi," katanya ketika ditemui di bilik gerakan banjir, di sini, sebentar tadi.

Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, Datuk Zaluzi Sulaiman dan Naibnya, Wan Shahrul Azwan Abd Aziz turut melawat mangsa di pusat pemindahan berkenaan.

Berita Harian X