Sabtu, 6 Februari 2016 | 10:00am

TPM nikmati sarapan bersama rakan lama

AHMAD Zahid meluangkan masa bersarapan bersama keluarga Beh Song Wan, 53, (kiri) dan ibunya, Cheah Seoh Lian, 75, (kanan) di Taman Desa Bersatu, Hutan Melintang. - Foto Supian Ahmad
AHMAD Zahid meluangkan masa bersarapan bersama keluarga Beh Song Wan, 53, (kiri) dan ibunya, Cheah Seoh Lian, 75, (kanan) di Taman Desa Bersatu, Hutan Melintang. - Foto Supian Ahmad

HUTAN MELINTANG: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluangkan masa bersarapan bersama sahabat lamanya di Taman Desa Bersatu, di sini, pagi ini.

Timbalan Perdana Menteri tiba di rumah Beh Song Wan, 53, kira-kira jam 9.30 pagi dan disambut keluarga berkenaan.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh, meluangkan masa selama setengah jam bersama Song Wan dan isterinya, Tiang Mee Ling, 48; ibunya, Cheeah Seoh Lian, 75; serta dua anak pasangan itu dan beberapa ahli keluarga terdekat.

Antara hidangan disediakan ialah nasi lemak rendang ayam, ubi rebus sambal ikan bilis, soto, pecal, lempeng bakar, tepung talam, kuih bakul dan limau Mandarin.

Song Wan yang juga peniaga tong gas berkata, sambutan Tahun Baharu Cina kali ini lebih bermakna dan menjadi kenangan berikutan kesudian Ahmad Zahid berkunjung ke rumahnya.

Timbalan Perdana Menteri dijadual merasmikan pelancaran Program Karnival Sambutan Jubli Intan di Sekolah Menengah Khir Johari, Sungai Sumun, Bagan Datoh, pagi ini.

Berita Harian X