Sabtu, 6 Februari 2016 | 8:52pm

Keputusan kadar levi selepas Chap Goh Mei - Zahid

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada majlis perasmian Program Karnival Jubli Intan 64 Tahun di Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari, Sungai Sumun di Bagan Datoh, hari ini. - Foto Supian Ahmad
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada majlis perasmian Program Karnival Jubli Intan 64 Tahun di Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari, Sungai Sumun di Bagan Datoh, hari ini. - Foto Supian Ahmad

BAGAN DATOH: Kerajaan akan mengadakan mesyuarat dengan majikan dan pelbagai pihak berkepentingan selepas perayaan Chap Goh Mei ini bagi menentukan sama ada mengekalkan atau menaikkan kadar baharu levi pekerja asing.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata mesyuarat itu bakal disertai Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) dan persatuan-persatuan yang mewakili majikan dan dewan perniagaan.

"Perbincangan perlu diadakan terlebih dahulu...kita (kerajaan) mendengar dan mengambil perhatian terhadap rungutan mereka," katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Program Karnival Jubli Intan 64 Tahun di Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari, Sungai Sumun di sini.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan bahawa berkuat kuasa pada 1 Februari lalu, levi pekerja asing bagi sektor pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan dinaikkan kepada RM2,500 bagi setiap pekerja manakala sektor perladangan dan pertanian bertambah kepada RM1,500 seorang.

Penstrukturan semula itu tidak melibatkan levi pembantu rumah warga asing yang kadarnya dikekalkan pada RM410 seorang.

Menurut statistik, terdapat 2.135 juta pekerja asing yang berdaftar di Malaysia.

- BERNAMA

Berita Harian X