Isnin, 15 Februari 2016 | 7:52pm

1MDB: Bekas Pengerusi akan ambil tindakan undang-undang

Tan Sri Mohd Bakke Salleh
Tan Sri Mohd Bakke Salleh

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tan Sri Mohd Bakke Salleh, hari ini menafikan beliau memberi keterangan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) kononnya RM2.6 bilion adalah daripada 1MDB, syarikat pelaburan strategik negara itu.

Beliau menegaskan tidak pernah menyebut atau melafazkan kenyataan seumpama itu ketika memberi keterangan kepada PAC bagi membantu siasatan terhadap 1MDB.

Sehubungan itu, beliau akan membuat laporan polis, malah tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu yang menyebarkan perkara itu.

"Saya dimaklumkan mengenai wujudnya khabar angin, fitnah dan spekulasi disebarkan melalui laman sosial mendakwa sebagai sebahagian daripada keterangan saya kepada PAC.

"Ia secara spesifik mendakwa kenyataan saya menyebut mengenai wang RM2.6 bilion kononnya adalah daripada 1MDB. Saya ingin menegaskan, kenyataan seumpama itu atau merujuk kepadanya atau berkarektor sebagaimana disebarkan, tidak pernah disebut atau dilafaz ketika keterangan saya kepada PAC," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Bakke berkata, kenyataan beliau kepada PAC iaitu sebuah jawatankuasa sahih dan diperakui Parlimen tidak pernah dibincangkan di media sosial, malah tidak pernah melantik mana-mana pihak untuk membuat kenyataan mewakili dirinya.

Beliau turut menasihatkan pengguna laman sosial untuk lebih berhati-hati terhadap sebarang sebaran spekulasi dan khabar angin tanpa pengesahan pihak yang sahih.

Khamis lalu, PAC selesai mendengar keterangan Mohd Bakke dan seorang lagi saksi terakhir prosiding PAC iaitu bekas Presiden dan Ketua Eksekutif (CEO) syarikat itu, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Berita Harian X