Selasa, 23 Februari 2016 | 2:04pm

Isu pekerja asing: Kerajaan teliti kewajaran tubuh suruhanjaya

TIMBALAN Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib.
TIMBALAN Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib.

SERI ISKANDAR: Kerajaan akan memutuskan sama ada Suruhanjaya Siasatan Diraja wajar ditubuhkan bagi menyiasat pengambilan pekerja asing yang kerap menimbulkan kontroversi.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib, berkata kementerian sudah mempunyai jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, proses pengambilan dan pengurusan pekerja asing turut dibantu serta dikawal selia Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mengelak masalah tidak diingini.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas majlis penghargaan pemenang pingat Pertandingan Kemahiran Dunia (WSC) 2015, di sini, hari ini.

Ismail mengulas kenyataan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), yang meminta kerajaan menghentikan rancangan membawa masuk 1.5 juta pekerja asing warga Bangladesh ke negara ini.

Setiausaha Agung MTUC, N Gopal Kishnam, berkata pihaknya bimbang kemasukan sejumlah besar pekerja warga asing dari negara berkenaan akan memberi kesan terhadap peluang pekerjaan penduduk negara ini.

Berita Harian X