X
Rabu, 24 Februari 2016 | 10:51pm

Pendakwah ke Johor perlu tauliah MAIJ

SULTAN Ibrahim bertitah pada Majlis Tilawah Al-Quran peringkat Negeri Johor di Dataran Tanjung Emas, Muar. Turut kelihatan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (kiri). - Foto Syarafiq Abd Samad

MUAR: Pendakwah luar yang mahu memberi ceramah di Johor perlu mendapatkan tauliah daripada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ).

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bertitah, walaupun penceramah itu bagus kerana pandai berhujah dan sering berceramah di televisyen tetapi apabila dia tidak diberikan tauliah, pasti ada yang tidak kena dengan pengajarannya.

"Cermin dahulu muka sendiri sebelum nasihat kepada orang lain. Kita akan mengawal mana-mana orang daripada mengajar agama Islam tanpa tauliah kerana ajaran sesat dan ceramah berbaur politik yang menjadi medan untuk mengata, memfitnah dan mencaci orang lain akan hanya mengelirukan masyarakat Islam dan meruntuhkan perpaduan rakyat.

"Dalam Perlembagaan Persekutuan jelas memperuntukkan agama Islam di bawah bidang kuasa negeri dan Sultan adalah ketua agama di negeri masing-masing. Dalam undang-undang tubuh kerajaan Johor 1895 diperuntukkan dengan jelas Sultan adalah ketua agama bagi negeri Johor Darul Takzim.

"Tapi sejak kebelakangan ini, ada pihak yang suka mencampuri kuasa agama di negeri-negeri sedangkan mereka hanya mempunyai bidang kuasa di negeri masing-masing," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Perasmian Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Johor ke-60 di Dataran Tanjung Emas di sini, sebentar tadi.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah dan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Tan Sri Mohamad Aziz; Setiausaha Kerajaan (SUK) Johor, Datuk Ismail Karim dan Mufti Johor, Datuk M Tahrir Samsudin.

SULTAN Ibrahim diiringi Mohamed Khaled pada Majlis Perasmian Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Johor ke-60 di Dataran Tanjung Emas, Muar. - Foto Syarafiq Abd Samad
SULTAN Ibrahim diiringi Mohamed Khaled pada Majlis Perasmian Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Johor ke-60 di Dataran Tanjung Emas, Muar. - Foto Syarafiq Abd Samad

Berita Harian X