Rabu, 2 March 2016 | 4:13pm

2 OKU ke pertandingan memasak di Perancis

OKU bisu, Yap Yee Heng, bersama Muhamad Saifuddin Rosli, (kanan) yang juga pekak terpilih mewakili Malaysia bagi International Abilympics (Pertandingan Kemahiran Bagi Pelajar Kelainan Upaya) di Bordeaux, Perancis. - Foto Ahmad Irha Mohd Noor
OKU bisu, Yap Yee Heng, bersama Muhamad Saifuddin Rosli, (kanan) yang juga pekak terpilih mewakili Malaysia bagi International Abilympics (Pertandingan Kemahiran Bagi Pelajar Kelainan Upaya) di Bordeaux, Perancis. - Foto Ahmad Irha Mohd Noor

KUALA LUMPUR: Buat pertama kali, Malaysia akan menghantar dua pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) menyertai Pertandingan Kemahiran Abilympics Antarabangsa dalam kategori masakan di Bordeux, Perancis pada 23 hingga 27 Mac ini.

Pelajar Sijil Asas Kulinari dari Kolej Komuniti Selayang, Yap Yee Heng, 22, dan Muhamad Safiuddin Rosli, 20 yang pekak dan bisu terpilih mewakili negara selepas berjaya memenangi Pertandingan Abilympic Kebangsaan 2014.

Mereka akan diiringi pensyarah kolej berkenaan, Nor Asfarul Lail Azwan Haris untuk bersaing dengan peserta dari 60 negara di pertandingan itu.

Muhamad Safiuddin yang berasal dari Bukit Beruntung, ketika ditemui berkata, dia melakukan latihan setiap hari bagi persediaan menghadapi pertandingan yang mempertandingkan 16 kategori itu, termasuk sajian masakan.

"Saya terkejut diberitahu layak mewakili negara dan rasa sangat berdebar. Bagi menghadapi pertandingan ini, saya berusaha bersungguh-sungguh melakukan latihan setiap hari supaya dapat mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

"Pada pertandingan itu, saya akan diuji dengan masakan pembuka selera, sajian utama dan pencuci mulut," katanya.

Sementara itu, Ikon Kolej Komuniti Malaysia, Datuk Fazley Yaakob yang berpeluang merasai sajian disediakan Safiuddin, berkata hidangan dihasilkan oleh pelajar istimewa itu berpotensi bersaing di peringkat antarabangsa.

"Saya berharap mereka dapat mengawal perasaan gugup dan cemas ketika bertanding dan berusaha menaikkan nama negara," katanya yang hadir ke Kolej Komuniti berkenaan untuk memberi motivasi dan berkongsi pengalamannya mengikuti pengajian dalam bidang kulinari di Perancis.

Pertandingan Kemahiran Abilympics Antarabangsa yang diperkenalkan pada tahun 1981 di Jepun adalah pertandingan kemahiran vokasional khusus untuk golongan OKU. Ia bertujuan mengubah pandangan masyarakat terhadap potensi dan kebolehan golongan berkenaan.

Berita Harian X