X
Isnin, 7 March 2016 | 5:16pm

Lebih 1,200 projek bangunan dinilai QLASSIC

PENGERUSI Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali.
PENGERUSI Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali.

JOHOR BAHRU: Lebih 1,200 projek pembinaan bangunan di seluruh negara dinilai menggunakan Sistem Penilaian Kualiti dalam Pembinaan (QLASSIC) dan berjaya mencapai purata keputusan 70 peratus.

Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali, berkata tahun lalu, Johor mencatat 51 projek atau 19 peratus daripada keseluruhan 270 projek pembinaan menjalani penilaian QLASSIC.

Katanya, walaupun penerapan QLASSIC belum dilaksanakan secara mandatori, ia menjadi pengukur nilai ideal untuk manfaat pihak pemaju dan pelanggan.

"Justeru, hasrat kerajaan adalah untuk menerapkan kualiti ke dalam Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) sebagai sebahagian daripada empat teras utama menjelang 2020.

"Disebabkan ada usul untuk menjadikan QLASSIC suatu penilaian mandatori menjelang 2018, saya gesa pengamal industri pembinaan mengguna pakai sistem ini mulai sekarang supaya serasi," katanya pada Majlis Penyerahan Sijil QLASSIC Bagi Pembinaan Masjid Bandar Dato' Onn yang dimajukan Johor Land Bhd, anak syarikat Johor Corporation (JCorp) di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp merangkap Pengerusi JLand; Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim; Pengurus Besar Kanan Sektor Pembangunan CIDB, Datuk Elias Ismail dan Pengarah Urusan JLand, Lukman Abu Bakar.

Masjid berkeluasan 2.2 hektar itu meraih pengiktirafan sijil QLASSIC dengan markah 80 peratus.

QLASSIC yang diperkenalkan CIDB sejak 2006 bukan sahaja dapat menjamin kualiti projek yang dilaksanakan, tetapi pada masa sama, mengurangkan kemungkinan berlaku ketidakpatuhan standard dan spesifikasi.

Berita Harian X