Isnin, 28 March 2016 | 1:14pm

Pelan Hala Tuju Perpaduan dibentang pertengahan tahun ini

TIMBALAN Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan. - Foto Saifullizan Tamadi
TIMBALAN Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan. - Foto Saifullizan Tamadi

KUALA LUMPUR: Pelan Hala Tuju Perpaduan akan dibentangkan pertengahan tahun ini dalam usaha kerajaan mewujudkan kestabilan dan keharmonian di peringkat sekolah bagi mencegah krisis atau sentimen perkauman.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan, berkata pelan hala tuju itu bertujuan memperkukuhkan program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) yang dijalankan ketika aktiviti kokurikulum di luar bilik darjah.

Beliau berkata, tiga aspek utama dicadangkan dalam perancangan Pelan Hala Tuju Perpaduan, antaranya mengenai dasar membantu sekolah dan komuniti membabitkan diri dalam program perpaduan, penyediaan peralatan untuk melaksanakan program serta memperkenalkan indeks perpaduan di peringkat sekolah.

"Kementerian Pendidikan mengadakan makmal bagi menyediakan Pelan Hala Tuju Perpaduan. Dua mesyuarat sudah selesai iaitu fasa pertama pada Oktober tahun lalu, manakala fasa kedua selesai dibuat pada 7 hingga 10 Mac lalu.

"Buat masa ini, Kementerian Pendidikan dalam proses menyiapkan kerangka sebelum dibentangkan pada pengurusan tertinggi dan menteri. Jika semua berjalan lancar, saya pasti pertengahan tahun ini kita akan dapat satu hala tuju lebih teratur dan mantap," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Dr Mansor Abd Rahman (BN-Sik) mengenai sejauh mana elemen perpaduan dipupuk serta kejayaan sistem pengasingan mengikut aliran sekolah seperti sedia ada dapat membantu mengurangkan sentimen, sekali gus memperkasakan agenda perpaduan secara holistik.

Terdahulu, menjawab soalan awal Dr Mansor, Kamalanathan berkata, pelaksanaan RIMUP diberi nafas baharu dan dimantapkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Beliau berkata, RIMUP memberi fokus kepada aspek kepelbagaian dan semangat cintakan negara melalui elemen sukan dan permainan, kesenian dan kebudayaan, jati diri dan patriotisme, akademik dan khidmat masyarakat.

Katanya, bagi memastikan perpaduan dan integrasi nasional dapat ditingkatkan, kementerian mengadakan makmal bagi menyediakan Pelan Hala Tuju Perpaduan dengan membabitkan pelbagai kumpulan pendidik, persatuan dan organisasi bukan kerajaan.

Berita Harian X