Rabu, 6 April 2016 | 2:25pm

Bekas Naib Canselor USM dilantik Pengerusi Lembaga Pengarah USIM

PROF Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak.
PROF Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak.

BANDAR BARU NILAI: Bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang baharu.

Pelantikan itu yang dipersetujui Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh adalah selama tiga tahun berkuat kuasa 1 April lalu hingga 31 Mac 2019.

Beliau menggantikan Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin yang mengakhiri tempoh perkhidmatannya pada 31 Mac lalu selepas dilantik pada tahun 2012.

Penolong Pendaftar Pusat Komunikasi Strategik USIM, Mohd Zaini Othman, berkata Dzulkifli mempunyai hubungan langsung dengan USIM sebelum ini sebagai penyandang Kursi Akademik Kepemimpinan Islam dan Felo Utama di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan.

Katanya, Pengerusi Lembaga Pengarah USIM yang baharu juga dikenali dan dihormati sebagai ahli akademik pengajian tinggi tersohor negara, berpengalaman luas dalam dunia akademik serta pentadbiran pengajian tinggi dalam dan luar negara.

"Kepemimpinannya terserlah ketika menerajui USM sebagai Naib Canselor selama 11 tahun apabila berjaya meletakkan USM mencapai status APEX (Program Pemacuan untuk Kecemerlangan), iaitu satu-satunya universiti awam di negara ini berstatus demikian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Antara jawatan dipegang Dzulkifli di peringkat antarabangsa adalah Presiden Persatuan Universiti Antarabangsa berpangkalan di Paris, Perancis, manakala antara pengiktirafan di peringkat tempatan, termasuk Felo Akademi Sains Malaysia.

Berita Harian X