Rabu, 13 April 2016 | 11:21pm

MyDeposit terima 4,835 permohonan

Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara, Datuk Mohamad Yusoff Ghazali ketika taklimat khas dan sesi soal jawab bersama media mengenai Skim Mydeposit, Myhome dan Rumah Mampu Milik RM300 Ribu kepada pembeli rumah di Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Putrajaya. Turut kelihatan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Jabatan Perumahan Negara, Rohani Omar. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara, Datuk Mohamad Yusoff Ghazali ketika taklimat khas dan sesi soal jawab bersama media mengenai Skim Mydeposit, Myhome dan Rumah Mampu Milik RM300 Ribu kepada pembeli rumah di Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Putrajaya. Turut kelihatan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Jabatan Perumahan Negara, Rohani Omar. - Foto Mohd Fadli Hamzah

PUTRAJAYA: Senarai pemohon Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama (MyDeposit) yang berjaya akan diumumkan selewat-lewatnya sebelum hujung bulan ini.

Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara, Datuk Mohamad Yusoff Ghazali, berkata permohonan berkenaan masih dibuka dan borang Pendaftaran MyDeposit boleh dibuat secara dalam talian di laman sesawang Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Katanya, MyDeposit yang dilancarkan pada 6 April lalu, adalah inisiatif kerajaan bagi membantu golongan pertengahan untuk memiliki kediaman pertama mereka.

"Pemohon perlu mengenal pasti terlebih dahulu projek perumahan yang hendak dibeli sebelum mengemukakan permohonan. Pemohon bebas memilih projek perumahan swasta yang menepati syarat dan harga rumah kurang daripada RM500,000.

"Insentif yang diberikan oleh Skim MyDeposit adalah berbentuk sumbangan dan ia tidak perlu dibayar balik. Bagaimanapun, kerajaan menetapkan rumah yang dibeli melalui skim ini tidak boleh dijual untuk tempoh 10 tahun selepas pembelian," katanya dalam Taklimat Khas dan Sesi Soal Jawab bersama media, di sini sebentar tadi.

Yusoff menjelaskan, pemohon yang sudah ditapis untuk ditawarkan skim berkenaan akan diberi tawaran bersyarat yang sah selama 30 hari berkuatkuasa daripada tarikh surat berkenaan dikeluarkan.

"Pemohon perlu memenuhi beberapa perkara seperti menandatangani Surat Setuju Terima Pembiayaan Deposit Rumah Pertama dan Menandatangani Perjanjian Jual Beli dengan pemaju atau pemilik asal rumah.

"Sekiranya pemohon gagal berbuat demikian, surat tawaran bersyarat itu dikira batal dan kerajaan berhak untuk menolak tuntutan bayaran yang dikemukan," katanya.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan pelaksanaan skim MyDeposit bagi membantu golongan berpendapatan sederhana (M40) yang mempunyai pendapatan isi rumah antara RM3,000 dan RM10,000.

Peruntukkan sebanyak RM200 juta kepada MyDeposit itu akan memberi manfaat kepada kira-kira 7,000 warga negara ini yang berpendapatan sederhana.

Skim itu membabitkan pemberian sumbangan sebanyak 10 peratus daripada harga jualan atau maksimum RM30,000, yang mana lebih rendah, kepada pembeli rumah pertama sebagai bantuan kepada mereka untuk membeli rumah yang berharga kurang RM500,000.

Skim bayaran insentif MyDeposit tidak terpakai bagi program perumahan yang sudah menerima bantuan subsidi seperti Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PRIMA), Projek Perumahan Rakyat (PPR), Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) dan Rumah Mesra Rakyat.

INFO PERMOHONAN MyDeposit

Selangor - 2,500

Putrajaya - 1,000

Johor - 643

Pulau Pinang - 534

Kuala Lumpur - 158

Berita Harian X