Ahad, 17 April 2016 | 12:58am

Tiga lagi individu peluk Islam ketika ceramah Dr Zakir Naik

PENJAWAT swasta dan warganegara India, Harinder Pal Singh mengucapkan syahadah selepas menghadiri ceramah Dr Zakir Naik, malam tadi. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
PENJAWAT swasta dan warganegara India, Harinder Pal Singh mengucapkan syahadah selepas menghadiri ceramah Dr Zakir Naik, malam tadi. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

KUALA LUMPUR: Selepas Woo Nina Grace, seorang lelaki Sikh dan seorang wanita tempatan pula terbuka hatinya untuk mengucapkan syahadah, sekali gus memeluk Islam selepas menghadiri ceramah Dr Zakir Naik, malam tadi.

Penjawat swasta dan warga India, Harinder Pal Singh, ketika tampil mengajukan soalan kepada Zakir, tersentuh dengan penjelasan pendakwa ulung antarabangsa itu.

Harinder, 23, kemudian dengan rela hati memeluk Islam selepas Zakir membuktikan wujud persamaan antara al-Quran dan kitab Singh, bahawa Allah hanya satu dan Nabi Muhammad SAW pesuruhnya.

"Sekarang saya jelas bahawa tiada tuhan selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah," katanya sambil dipeluk hadirin yang membanjiri ceramah Zakir di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Zakir turut berkesempatan mendoakan supaya perjalanan Harvinder mendalami ajaran Islam dipermudahkan, selain meminta pelbagai pihak untuk membantunya.

"Apa saja yang anda lakukan sebelum ini akan diampunkan, insya-Allah dan semoga Allah kurniakan anda Jannah," katanya disahut laungan takbir 35,000 orang di stadium berkenaan.

Harinder mengakui dirinya sudah mendalami ajaran Islam daripada rakan dan tokoh agama sejak setahun lalu, namun masih menunggu penjelasan yang akhirnya diutarakan secara jelas oleh Tokoh Maal Hijrah 2013 itu.

"Saya akan terus ikut ceramah Dr Zakir selepas ini dan memasuki kelas agama untuk memahami syariat Islam, selain menguatkan kepercayaan diri terhadap Allah dan rasulnya.

"Kehendak saya untuk memeluk Islam bukan atas paksaan, sebaliknya dilakukan atas penuh kerelaan diri kerana tertarik dengan keindahan dan kesempurnaan agama ini," katanya.

Sementara itu, dua wanita tempatan turut mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapan Dr Zakir dan 35,000 pengunjung ceramah.

Berita Harian X