Rabu, 20 April 2016 | 1:27pm
SEORANG pelajar perempuan yang dipercayai diserang histeria ditenangkan oleh rakan dan guru di bilik rawatan sekolah. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
SEORANG pelajar perempuan yang dipercayai diserang histeria ditenangkan oleh rakan dan guru di bilik rawatan sekolah. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Kaunseling secara individu bagi mangsa histeria

KOTA BHARU: Bagi memulihkan semangat pelajar yang terbabit dengan histeria, Jabatan Pendidikan negeri (JPN) Kelantan menyediakan pelan intervensi untuk mereka.

Timbalan Pengarah JPN Kelantan, Jaafar Ismail, berkata perkhidmatan itu memberi tumpuan secara individu dengan memberi rawatan dan penekanan daripada aspek jiwa oleh kaunselor dan pihak Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII).

"Perkhidmatan ini disediakan Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) Pengkalan Chepa yang dikendalikan kaunselor sekolah yang ditugaskan secara bergilir-gilir dengan kerjasama pihak HRPZII.

"Sekiranya terdapat pelajar yang dikenal pasti masih tegar diserang histeria, kita akan bawa ke BTP untuk proses pemulihan," katanya kepada pemberita, di sini, sebentar tadi.

Beliau ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Ahmad Maher, di sini, selepas merasmikan program karnival sekolah itu.

Jaafar berkata, pelajar akan diberi rawatan bagi menenangkan mereka, sekali gus dapat memulihkan mereka.

"Pelan tindakan susulan akan dibuat sebaik saja pelajar dilihat sudah stabil dan kita memantau mereka sepanjang berada di persekitaran sekolah," katanya.

Berhubung kes histeria yang 'menyerang' tiga sekolah di daerah ini sejak minggu lalu, Jaafar berkata, keadaan semakin pulih dan mangsa berada dalam kawalan pihak sekolah masing-masing.

Sementara itu, mengulas kes murid Tahun Satu, Nuri Nadirah Ruslan, 7, yang meninggal dunia dipatuk ular semalam, Jaafar berkata, semua sekolah di negeri ini diarah meningkatkan kawalan keselamatan mereka.

"Kita menggariskan 3K dalam Prosedur Standard Operasi (SOP) iaitu kawalan, keselamatan dan kebersihan yang sentiasa diamalkan.

"Cuma apabila berlaku kes itu yang juga kes pertama dan di luar jangkaan, usaha meningkatkan kawalan keselamatan semakin dipergiat," katanya.

Berita Harian X