Khamis, 21 April 2016 | 6:27pm

Pelajar SMK Pengkalan Chepa 2 tidak lagi 'diganggu'

SMK Pengkalan Chepa 2 kini meneruskan sesi persekolahan seperti biasa hari ini tanpa 'gangguan' yang menyebabkan lebih 50 warga sekolah diserang histeria. - Foto Syamsi Suhaimi
SMK Pengkalan Chepa 2 kini meneruskan sesi persekolahan seperti biasa hari ini tanpa 'gangguan' yang menyebabkan lebih 50 warga sekolah diserang histeria. - Foto Syamsi Suhaimi

KOTA BHARU: Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa 2 di sini, kini meneruskan sesi persekolahan seperti biasa hari ini tanpa gangguan jelmaan lembaga hitam yang menyebabkan lebih 50 warga sekolah diserang histeria, minggu lalu.

Tinjauan di sekolah berkenaan mendapati keadaan lebih tenang, berbeza dengan minggu lalu apabila hampir setiap hari pelajar meracau dan menangis apabila mendakwa melihat lembaga menakutkan.

Seorang pelajar Tingkatan Tiga yang mahu dikenali sebagai Nadia, berkata keadaan sekolah semakin pulih dan sesi pembelajaran dapat diteruskan tanpa ketakutan.

"Kes terakhir berlaku Selasa lalu membabitkan seorang pelajar dan (kini) kami tidak lagi berada dalam ketakutan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sejak dua minggu lalu, bacaan Yasin diadakan setiap pagi di sekolah itu sebelum memulakan sesi pembelajaran.

Sejak 11 April lalu, lebih 50 pelajar dan guru sekolah itu diserang histeria yang menyebabkan mereka menjerit serta meracau.

Susulan kejadian itu, pihak sekolah mengambil cuti peristiwa sehari pada Khamis lalu untuk 'membersihkan' kawasan sekolah.

Beberapa hari kemudian, kejadian sama dilaporkan melanda tiga sekolah lain, membabitkan 27 pelajar dan seorang guru.

Kejadian itu turut mendapat perhatian dan liputan akhbar Britain, The Telegraph, yang menyiarkan laporan mengenainya, semalam.

Akhbar itu melaporkan sesi persekolahan sebuah sekolah di negara ini terpaksa ditutup selepas kelibat misteri menyerupai lembaga hitam dilihat pelajar hingga mencetuskan histeria.

Laporan akhbar itu turut menyebut kejadian histeria berlarutan beberapa hari membabitkan kira-kira 100 mangsa.

Akhbar itu melaporkan, pengamal perubatan moden dan Islam turut dipanggil untuk usaha memulihkan mangsa kejadian itu.

Berita Harian X