Sabtu, 23 April 2016 | 3:05pm

Graduan perlu miliki pelbagai kemahiran - Permaisuri Johor

PRO Canselor UTM, Tan Sri Dr Yahya Awang menyampaikan Ijazah kepada graduan Sarjana Sains Kejuruteraan Sistem Komputer, Sharizal Fadlie Sabri sambil diperhatikan Canselor UTM, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah (kiri) ketika majlis konvokesyen UTM ke-56 di Dewan Iskandar, UTM Skudai. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim
PRO Canselor UTM, Tan Sri Dr Yahya Awang menyampaikan Ijazah kepada graduan Sarjana Sains Kejuruteraan Sistem Komputer, Sharizal Fadlie Sabri sambil diperhatikan Canselor UTM, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah (kiri) ketika majlis konvokesyen UTM ke-56 di Dewan Iskandar, UTM Skudai. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim

JOHOR BAHRU: Dunia yang bergerak pantas tanpa sempadan memerlukan graduan mempunyai pelbagai kemahiran seperti pemikiran keusahawanan, kreatif dan inovatif serta boleh menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, yang juga Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), berharap Kelab Bahasa Inggeris Canselor UTM yang ditubuhkan baru-baru ini, dapat menjadi platform bagi mahasiswa, bakal graduan dan warga universiti berkenaan meningkatkan penguasaan bahasa itu. 

"Selaras agenda UTM Global dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi), penguasaan dan penggunaan bahasa Inggeris adalah keperluan untuk berkomunikasi, menjalankan penyelidikan serta menjana ilmu baharu," titah baginda pada Majlis Konvokesyen Ke-56 UTM di sini, hari ini.

Pada konvokesyen kali ini, seramai 2,931 graduan termasuk 427 graduan antarabangsa dari 33 negara menerima ijazah doktor falsafah, ijazah sarjana, ijazah sarjana muda dan diploma masing-masing.

Dalam titah baginda, Raja Zarith Sofiah turut mengingatkan graduan supaya tidak melupakan jasa dan pengorbanan ibu bapa yang memberi sokongan, motivasi serta mendoakan kejayaan mereka.

"Tahniah dan terima kasih kepada ibu bapa yang tanpa jemu berkorban wang, masa dan tenaga serta mendoakan selain memberi dorongan dan galakan kepada anak mereka untuk berjaya.

"Sebagai graduan UTM, saya yakin mereka tidak mungkin menghampakan masyarakat dan negara. Graduan adalah duta yang akan mengharumkan nama universiti ini, maka amat penting bagi anda menjaga nama baik diri, keluarga dan universiti," titah baginda.

Berita Harian X