Ahad, 24 April 2016 | 6:17pm

Air: Permintaan Pulau Pinang akan dibincangkan - MB Kedah

MENTERI Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyerahkan watikah pelantikan jawatan Pengerusi Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pada Majlis Mesra Muafakat JKKK Kedah bersama Pemimpin di Alor Setar, hari ini. - Foto BERNAMA
MENTERI Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyerahkan watikah pelantikan jawatan Pengerusi Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pada Majlis Mesra Muafakat JKKK Kedah bersama Pemimpin di Alor Setar, hari ini. - Foto BERNAMA

ALOR SETAR: Kerajaan negeri akan berbincang dengan Lembaga Sumber Air Kedah berhubung permintaan Pulau Pinang yang mahu Kedah mengurangkan pelepasan air harian ke Sungai Muda.

Namun Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata pihaknya tidak boleh mengikut 100 peratus kehendak Pulau Pinang, sebaliknya mengutamakan keperluan Kedah terlebih dahulu.

"Kita akan bincang dahulu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Mesra Muafakat JKKK Kedah bersama Pemimpin di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Jaseni Maidinsa, berkata Pulau Pinang meminta penangguhan aktiviti pengairan di Kedah dalam usaha memenuhi hanya permintaan bekalan air di kedua-dua negeri itu.

Tanpa adanya kebimbangan tentang pengairan, kata Jaseni, Empangan Muda dan Empangan Beris mungkin boleh mengurangkan pelepasan air di Sungai Muda, selain mengurangkan pembaziran.

Sementara itu, pada majlis hari ini, Ismail turut menyerahkan watikah pelantikan jawatan Pengerusi Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) kepada Ahmad Bashah.

Kira-kira 2,000 Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Setiausaha JKKK hadir pada program hari ini, yang bertujuan mengeratkan silaturrahim antara JKKK dan KKLW. - BERNAMA

Berita Harian X