Jumaat, 6 Mei 2016 | 3:45pm

Pengambilan penjawat awam baharu setiap tahun diteruskan

KETUA Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa melancarkan buku 'Wacana Bitara Intan' pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) di Perbadanan Putrajaya hari ini. Turut hadir (dari kiri) Pengarah Institut Tadbiran Awam Negara Datuk Dr Mazlan Yusoff, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal dan Presiden PPTD Malaysia Datuk Seri Zainal Rahim Seman.- Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Pengambilan baharu penjawat awam setiap tahun tidak akan terjejas kerana ekonomi Malaysia dijangka terus kukuh dalam tempoh beberapa tahun datang.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, berkata antara 20,000 hingga 25,000 jawatan kosong dalam kerajaan perlu diisi setiap tahun berikutan persaraan penjawat awam, sekali gus mengekalkan jumlah 1.6 juta penjawat awam.

Katanya, tahun lalu, ekonomi Malaysia berkembang lima peratus, iaitu lebih daripada jangkaan.

"Malah, ekonomi kita dijangka mengalami pertumbuhan yang sama dan menjadi antara negara yang mencatat kadar pertumbuhan yang tinggi dalam tempoh empat tahun akan datang.

"Justeru, ketiadaan peluang pekerjaan dalam sektor kerajaan bukan satu isu kerana setiap tahun akan ada pengambilan baharu penjawat awam.

"Bagi jawatan yang tidak perlu, kita akan tempatkan dalam bidang baharu yang kita usahakan kerana transformasi sentiasa berlaku dalam perkhidmatan awam.

"Contohnya, kita memerlukan lebih ramai kakitangan dalam ESSCOM (Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah)," katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) Malaysia 2016 di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal dan Presiden PPTD, Datuk Seri Zainal Rahim Seman.

Beliau mengulas laporan sebuah portal berita mengenai ramalan seorang penganalisis ekonomi bahawa Malaysia akan mengalami kemelesetan ekonomi pada tahun 2018 yang akan menjejaskan banyak sektor penting negara dan menyebabkan pemberhentian pekerja.

Berita Harian X