Isnin, 9 Mei 2016 | 5:03pm

SERAP bantah usaha iktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu

 SHAHRIL Hamdan.
SHAHRIL Hamdan.

KUALA LUMPUR: Gerakan Sistem Sekolah Satu Aliran Demi Perpaduan (SERAP) membangkang sekeras-kerasnya sebarang usaha bagi mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang sukatan pendidikannya tidak menggunakan kurikulum kebangsaan.

Sehubungan itu, Pengerusinya, Shahril Hamdan meminta Timbalan Menteri Pendidikan II, Senator Chong Sin Woon memberi penjelasan berhubung kenyataannya yang disiarkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada 9 Mei lalu bahawa UEC bakal diiktiraf kerajaan dalam masa terdekat.

"Implikasi kenyataan itu adalah sijil UEC akan terpaksa diterima untuk kemasukan ke universiti tempatan, khususnya institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

"Kami membangkang sekeras-kerasnya usaha ini dan mendesak beliau memberi penjelasan sama ada kenyataan itu hanya harapan peribadi atau telah dipersetujui di peringkat tertinggi kerajaan?," katanya yang juga EXCO Pemuda UMNO dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, SERAP juga musykil kerana kenyataan Sin Woon bercanggah dengan kedudukan kerajaan bahawa UEC tidak diiktiraf sebagai sijil yang boleh digunakan untuk menyambung pengajian tinggi setaraf Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

"Pendirian SERAP sejak awal, kewujudan beberapa aliran persekolahan di Malaysia bukan aset kekuatan negara, sebaliknya memecahkan rakyat mengikut strata dan kaum dari peringkat awal lagi. Apatah lagi dengan UEC yang membabitkan lebih 80,000 pelajar sekolah menengah persendirian Cina," katanya.

Beliau berkata, Sin Woon perlu akur dengan realiti bahawa UEC tidak menggunakan kurikulum kebangsaan, sebaliknya diambil dari Taiwan dan dikelolakan oleh pertubuhan Dong Zong, bukan kerajaan.

"Apakah kita mahu membenarkan sijil pelajaran yang tidak mengikuti kurikulum kebangsaan, jauh sekali mencerminkan budaya nasional diletak setaraf SPM? Jika UEC diiktiraf, apakah kita juga akan iktiraf sijil seperti O Levels dari United Kingdom dan International Baccalaureate dari Switzerland?," katanya.

Beliau berkata, SERAP tetap komited terhadap penyelesaian jangka panjang, iaitu sistem persekolahan satu aliran seperti diperjuangkan tokoh akademik seperti Prof Datuk Dr Teo Kok Seong walaupun ia mungkin mengambil masa lama.

"Dalam konteks itu, sebarang langkah mengiktiraf UEC adalah langkah ke belakang yang mengeruhkan keadaan dan meletakkan kita lebih jauh dari penyelesaian jangka panjang terbabit," katanya.

Berita Harian X