X
Jumaat, 13 Mei 2016 | 11:35am

Hanyut 9 hari hingga ke perairan Layang-Layang

PENGARAH Maritim Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som (kanan) bersama Panglima Wilayah Laut Dua, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Teluk Sepanggar, Datuk Khairul Anuar Yahya. - Foto Mohd Adam Arinin
PENGARAH Maritim Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som (kanan) bersama Panglima Wilayah Laut Dua, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Teluk Sepanggar, Datuk Khairul Anuar Yahya. - Foto Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Empat mangsa hilang di perairan Kudat pada 2 Mei lalu, dipercayai hanyut selama sembilan hari hingga ke perairan Pulau Layang-Layang, di Kepulauan Spratly sebelum diselamatkan kapal nelayan Vietnam, pagi semalam.

Panglima Wilayah Laut Dua, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Teluk Sepanggar, Datuk Khairul Anuar Yahya, berkata berdasarkan maklumat mangsa, bot mereka terbalik dalam perjalanan dari Pulau Balambangan ke Simpang Mengayau.

Beliau berkata, mangsa dapat menterbalikkan kembali bot mereka dan naik semula, namun enjin serta semua barangan tidak dapat diselamatkan.

"Selepas itu, mereka hanyut dibawa arus hingga ke perairan Pulau Layang-Layang sebelum ditemui kapal nelayan Vietnam yang menangkap ikan dalam perairan kita," katanya, ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini, sebentar tadi.

Empat mangsa berkenaan adalah Tommy Lam Wai Yin Tommy, 45, warga China yang juga pemilik sebuah resort di Tanjung Simpang Mengayau, Kudat; suami isteri warga Sepanyol, David Hernandes Gasulla dan Martha Miguel, kedua-duanya berusia 30 tahun serta wanita tempatan yang juga pekerja resort, Armella Ali Hassan, 23.

Mereka tiba dengan pesawat Bombadier CL415 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dengan diiringi Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som di KKIA jam 9.15 pagi tadi.

Semalam, maklumat mengenai keadaan mereka diperoleh selepas Kapal Maritim (KM) Bistari milik APMM menahan sebuah kapal nelayan Vietnam yang dikesan menceroboh perairan Malaysia di Kepulauan Spratly, kira-kira 140 batu nautika dari Labuan.

Mangsa dipindahkan ke kapal KM Bistari pada jam 6 petang semalam dan tiba di Stesen TLDM Layang-Layang pada jam 10 malam tadi bagi menerima rawatan awal sebelum dibawa menaiki pesawat Bombadier APMM jam 8 pagi tadi.

Sementara itu, pasukan keselamatan hanya mengambil masa 10 hingga 15 minit berunding dengan nelayan Vietnam untuk membebaskan empat mangsa berkenaan.

Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som, berkata operasi menyelamatkan mangsa selesai kira-kira jam 6 petang semalam.

"Mulanya mereka (nelayan Vietnam) enggan membebaskan mangsa namun selepas rundingan, mereka bersetuju melepaskan keempat-empatnya.

"Mangsa diselamatkan di kawasan sempadan perairan negara dan semua dalam keadaan baik namun mengalami sedikit kesan lecur.

"Sejurus rundingan selesai, kita bergerak dari kawasan itu jam 6 petang dan tiba di Pulau Layang-Layang jam 10 malam tadi," katanya dalam sidang media di sini, sebentar tadi.

Mohd Zubil berkata, mangsa mendakwa melihat pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada malam 3 Mei lalu dan cuba memanggil tetapi suasana gelap menyukarkan keadaan untuk melihat.

"Arus yang laju turut menyebabkan bot dinaiki mereka hanyut dengan cepat," katanya.

Berita Harian X