Sabtu, 14 Mei 2016 | 8:09pm

Rakyat jangan cepat buat andaian isu perpaduan

KETUA Pengarah Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional (JPNIN), Datuk Gandesan Letchumanan (dua dari kanan) dan Presiden Pertubuhan Kebajikan Malay, Chinese, Indian and Others (M.C.I.O), Datuk Shaiful Nizam Abdullah (kanan) ketika melawat pameran mencanting batik yang turut diadakan sempena Unity Fest 2016, Majlis Perasmian Pertubuhan Kebajikan Malay, Chinese, Indian and Others (M.C.I.O) 2016 di Tapak Bazarena, Stadium Melawati Shah Alam.- Foto Intan Nur Elliana Zakaria

SHAH ALAM: Rakyat di negara ini diminta tidak cepat membuat andaian berkenaan sesuatu isu terutama berkaitan dengan perpaduan kaum di negara ini.  

Ia berikutan, andaian tanpa usul periksa dibimbangi boleh memecah belahkan keharmonian dan kesepakatan kaum di negara ini.   

Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Datuk L Gandesan berkata, usaha keras kerajaan untuk mengukuhkan keharmonian masyarakat selama ini pasti menemui jalan buntu jika rakyat masih tidak berubah.   

Katanya, pada masa kini rakyat lebih gemar mempersoalkan mengenai keharmonian dan perpaduan negara berbanding mengambil tanggungjawab bersama untuk menjayakan program dan usaha kerajaan untuk memeliharanya.  

"Unsur perpaduan sentiasa ada dalam kehidupan seharian, jadi sebagai rakyat, kita sendiri perlu melihat situasi berkenaan secara positif untuk membina serta mengukuhkan keharmonian. 

"Selain itu, golongan muda juga perlu lebih ke hadapan dalam soal perpaduan kerana mereka dianggap sebagai ejen utama untuk mencetuskan budaya harmoni dan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat terutama menerusi media sosial," katanya kepada pemberita, hari ini.  

Gandesan ditemui selepas merasmikan 'M.C.I.O Unity Fest 2016' anjuran Pertubuhan Kebajikan M.C.I.O di Bulatan Bazarena, Stadium Shah Alam, di sini.   

Sementara itu, ketika ditanya jika wujud pihak tertentu cuba menggunakan Pilihan Raya Kecil (PRK) di dua kawasan pada 18 Jun ini sebagai medan meniup sentimen perkauman, Gandesan berkata, setiap individu sepatutnya menerapkan nilai murni dalam diri dan bukan merosakkan keharmonian yang dikecapi dengan cuba mencetuskan api perkauman.  

"Kalau kita rasa keharmonian itu penting, kita boleh gunakan isu-isu perpaduan secara positif. Kalau banyak yang disampaikan negatif, pastinya penerapan nilai positif akan tenggelam.   

"Kita patut tanya diri kita, apa yang kita sudah lakukan untuk mewujudkan dan kekalkan keharmonian? Barulah kita sedar apa peranan kita sebagai rakyat," katanya.

Berita Harian X