X
Rabu, 18 Mei 2016 | 3:18pm

Novel Malaisie karya Henri Fauconnier jadi fokus seminar ITBM

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Mohd Khair Ngadiron. - Foto Surianie Mohd Hanif

KUALA LUMPUR: Seminar Tentang Henri Fauconnier dan Malaysia bakal mendedahkan pemikiran dan persepsi orang Perancis terhadap negara ini khususnya dalam sejarah penjajahan Barat.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Mohd Khair Ngadiron, berkata sebanyak 14 kertas kerja akan dibentangkan pada seminar itu yang akan diadakan di Hotel De Palma, Kuala Selangor dekat sini, bermula Jumaat ini.

"Pembentangannya membabitkan sasterawan negara (SN), sejarawan, ahli akademik dan cendikiawan termasuk dari Perancis seperti Dr Georges Voisset, Dr Laurent Metzger, Jean Bastian dan Serge Jardin.

"Voisset ialah Pensyarah Sastera Bandingan di Universiti Martinique, Perancis dan Presiden Pantun Sayang, Association Française du Pantoun, manakala Metzger pula berpengalaman mengajar di universiti awam (UA) di negara ini serta Universiti La Rochelle.

"Jardin pula menghasilkan buku Rêver Malacca dan Malacca Style, manakala Bastian pula aktif dalam bidang puisi dan sukarelawan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, novel Malaisie yang ditulis oleh Henri Fauconnier yang menjadi antara fokus seminar itu, menampilkan pemerhatian bijak terhadap cara hidup rakyat Tanah Melayu daripada kalangan Melayu, India dan Cina.

"Beliau memahami pemikiran dan falsafah hidup bangsa ini terutama orang Melayu yang berbeza dengan pihak British yang melihat dengan kaca mata kolonial," katanya.

Fauconnier ialah pengurus ladang yang berkhidmat di Tanah Melayu sekitar 1905 hingga 1914 yang tertumpu kepada perladangan getah dan kelapa sawit terutama di Kampung Rantau Panjang, Kuala Selangor.

Berdasarkan pengalaman itu, Fauconnier menulis novel berjudul Malaisie yang diterbitkan pada 1930 dan memenangi Prix Goncourt, iaitu hadiah sastera paling berprestij di Perancis.

Novel Malaisie diterjemah ke bahasa Melayu dengan judul Nurani Tanah Melayu.

Berita Harian X