Isnin, 23 Mei 2016 | 1:14pm

PM lulus peruntukan RM2.5 juta untuk YPPM

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak melihat potret seni ukiran pemimpin MCA di dinding Lorong Kenangan Payang, sewaktu melawat Kampung Cina sempena lawatan kerja ke Terengganu hari ini. - Foto BERNAMA
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak melihat potret seni ukiran pemimpin MCA di dinding Lorong Kenangan Payang, sewaktu melawat Kampung Cina sempena lawatan kerja ke Terengganu hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA NERUS: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan peruntukan keseluruhan RM2.5 juta untuk Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM).

Beliau berkata geran RM2 juta yang diperuntukkan untuk YPPM itu adalah untuk kajian pondok dan operasi semula instrumen media sosial oleh YBPM.

Katanya, sejumlah RM500,000 lagi adalah dana awal menerusi Tabung Kasih Perdana Menteri yang ditubuhkan serta merta hari ini, bertujuan menyalurkan bantuan kepada institusi pondok yang ditimpa musibah.

"Saya juga bersetuju supaya Tabung Kasih Perdana Menteri dapat kita wujudkan kerana kalau ada pondok yang ditimpa musibah bolehlah diberi bantuan segera.

"Jadi sebagai permulaan, saya luluskan RM500,000 untuk dana tabung ini. Saya juga ingin melihat YPPM terus maju dan sudah tentu adakan kajian untuk membuat blog, laman web dan menggunakan media sosial. Untuk tujuan itu, saya setuju luluskan geran berjumlah RM2 juta untuk penyelidikan dan operasi instrumen media sosial," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutup Ijtimak Pondok Malaysia 2016 di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini, sebentar tadi.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd Rahman; Pengerusi Eksekutif YPPM, Datuk Dr Mashitah Ibrahim; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dan Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar.

Najib juga berkata, kerajaan berharap usaha dapat dijalankan untuk membantu lambakan institusi pondok yang tidak berdaftar, terutama soal kebajikan pelajarnya dan operasi pondok.

Perdana Menteri berkata, kerajaan amat menghormati dan menghargai warga institusi pondok yang banyak melahirkan golongan ilmuan yang quranik dan berakhlak di negara ini dalam mengembangkan syiar Islam.

Beliau berkata, dalam konsep institusi dan sekolah pondok ini, sistem wakaf dilihat antara satu penyelesain terbaik yang boleh digunakan untuk memartabatkan lagi institusi pondok di negara ini.

Berita Harian X