Ahad, 29 Mei 2016 | 11:43pm

Penasihat Sains PM dapat pengiktirafan dunia

Tan Sri Zakri Abdul Hamid.
Tan Sri Zakri Abdul Hamid.

KUALA LUMPUR: Penasihat Sains kepada Perdana Menteri, Tan Sri Zakri Abdul Hamid dilantik menganggotai Majlis Pengelola Bank Teknologi bagi Negara Paling Kurang Membangun Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Pelantikan Zakri, yang juga pengerusi Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT), dibuat oleh Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon.

Bank Teknologi ditubuhkan hasil daripada resolusi Perhimpunan Agung PBB, yang memohon supaya setiausaha agung badan dunia itu melancarkan dan mengendalikan satu mekanisme sokongan sains, teknologi dan inovasi untuk negara paling kurang membangun.

"Majlis pengelola itu akan membantu setiausaha agung mengambil langkah perlu bagi mengendalikan Bank Teknologi.

"Secara khusus, ia akan menggubal prinsip dan dasar bagi mengawal selia aktiviti dan operasinya, di samping menyediakan piagamnya untuk dipertimbang dan diguna pakai oleh Perhimpunan Agung," kata MIGHT dalam satu kenyataan di sini.

Idea mengenai penubuhan Bank Teknologi dicetuskan pada Program Tindakan Istanbul 2011 serta disahkan pada Agenda Tindakan Addis Ababa 2015 dan dalam Matlamat 17 Pembangunan Lestari.

Kerajaan Turki menawarkan diri untuk menjadi hos bank itu di Gebze, Turki.

Dalam perkembangan lain, Persekutuan Majlis Daya Saing Global (GFCC), yang berpangkalan di Washington DC, melantik Zakri sebagai Felo Terkemuka bagi mengiktiraf kecemerlangan beliau dalam perkhidmatan awam dan kepakarannya mengenai perkara berkaitan daya saing, sains dan kelestarian global.

GFCC adalah rangkaian global 30 majlis daya saing dan pertubuhan pembangunan ekonomi/perniagaan yang mewakili negara dari rantau Amerika, Eropah, Afrika, Asia dan Oseania.

Zakri juga dilantik menganggotai Lembaga Pengelola Majlis Penyelidikan Global bagi mewakili rantau Asia Pasifik.

Diasaskan pada 2012, Majlis Penyelidikan Global adalah sebuah pertubuhan maya dianggotai oleh ketua-ketua angensi pembiayaan sains dan kejuruteraan dari seluruh dunia, yang berusaha menggalakkan perkongsian data serta amalan terbaik bagi mewujudkan kerjasama berkualiti tinggi dalam kalangan agensi pembiayaan dari seluruh dunia. - BERNAMA

Berita Harian X