Isnin, 13 Jun 2016 | 9:08pm

PM mahu media bantu kerajaan bangunkan negara

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor bergambar bersama kakitangan Utusan Melayu ketika Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri Bersama Media di Utusan Melayu. - Foto Abdullah Yusof
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor bergambar bersama kakitangan Utusan Melayu ketika Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri Bersama Media di Utusan Melayu. - Foto Abdullah Yusof

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menyeru pengamal media, termasuk media sosial untuk membantu kerajaan memajukan negara serta memakmurkan rakyat, sekali gus mencapai agenda besar untuk negara.

Perdana Menteri berkata, peranan media sangat penting khususnya jika berpaksikan penyampaian berita yang tepat, benar dan bertanggungjawab sebagai pegangan utama.

Sebaliknya, katanya, media yang bermatlamat menjaja kisah buruk semata-mata untuk menjual berita tidak berkhidmat kepada negara, selain menyukarkan kerajaan melaksanakan tugas membantu rakyat.

"Soalnya bukan semata-mata kerajaan, tetapi pokoknya kita nak membangunkan dan membawa negara ke hadapan dan dalam proses itu, tahap pemikiran rakyat juga mesti dididik supaya rakyat ada nilai intelektual.

"Itu adalah tanggungjawab bersama, bukan semata-mata menghangatkan sesuatu, sensasikan berita, apatah lagi berita palsu. Jika itu matlamat media, maka kita tidak menyumbang kepada negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri Bersama Media di ibu pejabat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad di sini, hari ini.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Selain itu, Pengerusi Utusan Melayu, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh; Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Seri Amrin Awaluddin; Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Mohammad Azlan Abdullah; Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Abdul Jalil Abdul Hamid; Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mahfar Ali, Timbalan Pengarang Kumpulan BH, Datuk Badrulhisham Othman dan Timbalan Pengarang Kumpulan HM, [email protected] Bachok.

Terdahulu, hampir 1,000 pengamal media termasuk blogger dan media sosial hadir berbuka puasa bersama Perdana Menteri yang kemudian turut menunaikan solat tarawih di situ.

Berita Harian X