Khamis, 16 Jun 2016 | 2:26pm

Budak setahun kritikal dipatuk ular

Mohd Iskandar Mohd Syukri dilaporkan kritikal akibat terkena patukan ular di rumahnya di Kampung Wak Salam, Mersing, kini menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru. - Foto Ikhwan Muhammad
Mohd Iskandar Mohd Syukri dilaporkan kritikal akibat terkena patukan ular di rumahnya di Kampung Wak Salam, Mersing, kini menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru. - Foto Ikhwan Muhammad

MERSING: Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun sembilan bulan kritikal selepas dipercayai dipatuk ular senduk di kaki kiri ketika bermain di rumahnya di Kampung Wak Salam, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, Mohd Iskandar Mohd Syukri, leka bermain bersama ibunya, Nur Jannah Abdullah, 18, manakala bapanya, Mohd Syukri Abdullah, 20, keluar ke bandar membeli barangan bersama seorang sepupu.

Bapa saudara mangsa, Zaidi Birut, 24, berkata sebaik tiba di rumah, mereka mendapati Mohd Iskandar menangis dengan kuat dan mendapati ada kesan gigitan pada kaki kanak-kanak itu.

"Mulanya kami menyangka Mohd Iskandar terkena gigitan serangga atau lipan.

"Ketika cuba merawatnya, ibu mangsa menjerit melihat seekor ular berwarna hitam keluar dari celah tikar. Mohd Syukri terus memukul ular terbabit hingga mati sebelum bergegas menghantar anaknya ke Hospital Mersing," katanya.

Keadaan mangsa yang kritikal membuatkannya dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru untuk rawatan lanjut.

Berita Harian X