Rabu, 29 Jun 2016 | 9:30pm

Difteria: 13 kes dilapor seluruh negara, 5 kematian

Terdapat dua kategori insentif disediakan kepada penyewa DBKL yang layak iaitu cenderahati dan diskaun sewa sebulan. - Arkib NSTP
Terdapat dua kategori insentif disediakan kepada penyewa DBKL yang layak iaitu cenderahati dan diskaun sewa sebulan. - Arkib NSTP

PUTRAJAYA: Statistik Kementerian Kesihatan sehingga hari ini menunjukkan 13 kes disahkan difteria dengan lima kematian dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, dalam satu kenyataan sebentar tadi, berkata tiga kes dilaporkan di Melaka, dengan satu kematian; Kedah enam kes dengan satu kematian dan Sabah empat kes dengan tiga kematian.

"Semua kes di Sabah dilaporkan berlaku secara terpencil dan tiada hubung kait antara satu sama lain.

"Sementara itu, kes difteria di Kedah dan Melaka adalah kejadian kluster dalam keluarga," katanya.

Mengulas lanjut kes di Sabah, beliau berkata dua kes terbaharu membabitkan kanak-kanak warga tempatan berusia tiga tahun yang tiada sejarah menerima imunisasi difteria.

"Pesakit disahkan difteria pada 23 Jun lalu dan meninggal dunia pada 27 Jun lalu.

"Kes kedua pula membabitkan kanak-kanak bukan warganegara berusia lima tahun dan disahkan difteria pada 28 Jun lalu. Dia kini dirawat di wad isolasi hospital dan dalam keadaan stabil," katanya.

Beliau menggesa semua ibu bapa terus komited membawa anak mendapatkan imunisasi mengikut jadual.

"Ibu bapa dengan anak di bawah umur tujuh tahun dipohon untuk menyemak temu janji imunisasi anak.

"Jika cicir imunisasi, mohon untuk mendapatkan imunisasi di klinik berhampiran. Anggota kesihatan akan mengatur jadual baharu yang sesuai," katanya.

Berita Harian X