Jumaat, 1 Julai 2016 | 12:06am

Henti spekulasi mengenai Ahmad Husni - Ismail Sabri

DATUK Seri Ahmad Husni Hanadzlah. - Foto Azmaidi Abidin
DATUK Seri Ahmad Husni Hanadzlah. - Foto Azmaidi Abidin

KUALA LUMPUR: Semua pihak diminta menghentikan spekulasi berhubung tindakan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang melepaskan jawatannya dalam Kabinet dan parti.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ada segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan berita tidak benar mengenai peletakan jawatan bekas Menteri Kewangan II itu daripada Kabinet.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah turut menafikan dakwaan yang mengatakan Ahli Parlimen Tambun itu melepaskan jawatan dari kerajaan adalah disebabkan tidak bersependapat dengan rakan dalam pentadbiran kerajaan.

"Saya dan rakan yang lain hanya mengetahui berita peletakan jawatannya daripada Setiausaha Politik menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di media sosial baru-baru ini.

"Keputusan berkenaan sememangnya mengejutkan saya kerana beliau seorang yang berpengalaman dan lama berkecimpung dalam dunia politik," katanya selepas Majlis Syukur Ramadan Raikan Syawal bersama media, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Ibrahim Ahmad dan Pengarang Eksekutif Berita, Rencana dan Digital Berita Harian, Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Beliau mengulas dakwaan yang tersebar di media sosial berhubung sebab peletakkan Ahmad Husni kerana tidak 'sebulu' dengan rakan sejawat dalam kerajaan.

Dalam pada itu, Ismail menaruh kepercayaan dan keyakinan kepada rakannya itu tidak akan bersama Tun Mahathir Mohamad, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terbabit sama dalam konspirasi gerakan menjatuhkan kepimpinan Perdana Menteri.

Katanya, bekas Bendahari UMNO itu tidak akan bertindak demikian kerana sudah lama bersama Datuk Seri Najib Razak sejak zaman pemuda lagi.

"Kali terakhir saya berjumpa dengan beliau (Ahmad Husni) pada Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO baru-baru ini.

"Saya harap kita beri beliau masa untuk bertenang supaya dapat membuat keputusan yang betul untuk dirinya dan parti," katanya.

Isnin lalu, Ahmad Husni melepaskan semua jawatan dalam kerajaan dan parti selepas Perdana Menteri mengumumkan penyusunan semula Kabinet.

Berita Harian X