Sabtu, 2 Julai 2016 | 5:24pm

Usah ambil mudah keselamatan penumpang - SPAD

ANGGOTA SPAD membuat pemeriksaan terhadap pemandu bas pada Ops Bersepadu SPAD bersama agensi lain di Melaka Sentral. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
ANGGOTA SPAD membuat pemeriksaan terhadap pemandu bas pada Ops Bersepadu SPAD bersama agensi lain di Melaka Sentral. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

MELAKA: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) memandang serius sikap ambil mudah segelintir pengusaha syarikat bas ekspres apabila gagal mengemukakan Lesen Perubahan Sementara (LPS) bagi menyediakan bas tambahan di musim perayaan.

Ini selepas lima kes dikesan membabitkan pengendali bas ekspres yang gagal mengemukakan LPS dalam satu operasi bersepadu membabitkan pelbagai agensi penguatkuasaan di Terminal Melaka Sental, di sini, malam tadi.

Ketua Penguatkuasa SPAD Wilayah Selatan, Mejar (B) Adli Azmi Amad, berkata operasi selama kira-kira tiga jam bermula jam 9 malam itu menyaksikan pemeriksaan sebanyak 41 bas ekspres bagi perjalanan ke utara dan pantai timur Semenanjung.

"SPAD Wilayah Selatan sudah mula menjalankan operasi penguatkuasaan bagi musim perayaan bersama agensi kerajaan lain bermula 26 Jun lalu hingga 16 Julai ini.

"Tumpuan operasi bagi menjalankan penguatkuasaan ialah di terminal bas utama serta hentian bas untuk memastikan peraturan dipatuhi, sekali gus memastikan keselamatan penumpang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Operasi Bersepadu Agensi Penguatkuasaan serta beramah mesra dengan penumpang bas di Terminal Melaka Sentral, di sini.

Yang turut hadir, Setiausaha Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Melaka, Ghafar Misdar; Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) negeri, Mohamad Yusof Kameh dan Penolong Pengarah Imigresen negeri, Mohd Sabri Ismail.

Adli Azmi berkata, pengendali bas ekspres yang gagal mengemukakan LPS boleh dikenakan denda RM1,000 hingga RM500,000 atau penjara selama dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dalam operasi sama, lapan kes dicatatkan Jabatan Imigresen Melaka membabitkan warga asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, manakala AADK turut mencatatkan satu kes membabitkan pemandu bas yang didapati positif dadah jenis syabu.

Berita Harian X