Rabu, 6 Julai 2016 | 3:36pm

Hujan rahmat sambut kedatangan pagi 1 Syawal

ORANG ramai hadir menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri di Masjid Jamek, Kuala Lumpur.- Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
ORANG ramai hadir menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri di Masjid Jamek, Kuala Lumpur.- Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

KUALA LUMPUR: Hujan renyai di sini dan di beberapa tempat lain yang dilanda kemarau, dianggap hujan rahmat pada pagi 1 Syawal bagi umat Islam yang merayakan sambutan Aidilfitri hari ini.

Mereka merayakan hari mulia itu dengan menunaikan solat Aidilfitri di masjid dan surau serta mengadakan rumah terbuka dan mengunjungi sahabat handai serta saudara mara.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berangkat menyertai beribu-ribu jemaah untuk menunaikan solat Aidilfitri di Masjid Wilayah Persekutuan di sini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menterim Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; menteri Kabinet dan kenamaan asing turut menunaikan solat sunat itu.

Selain itu, Sultan, Yang Dipertua Negeri dan pemimpin politik turut menyertai rakyat untuk menunaikan solat sunat di negeri masing-masing.

Warga Malaysia dan rakyat asing saling mengunjungi rakan taulan mereka yang beragama Islam untuk mengucapkan Selamat Hari Raya dan memeriahkan majlis rumah terbuka, suatu amalan tradisi yang unik di negara ini.

Di PERAK, Sultan Nazrin Shah dan anakanda sulung baginda, Raja Azlan Muzaffar Shah, berangkat menyertai kira-kira 2,000 jemaah menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Ubudiah di Bukit Chandan, Kuala Kangsar.

Berangkat sama Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di-Hilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir juga hadir.

Zambry mengadakan majlis rumah terbuka di kediaman rasminya bermula 2.30 petang hingga 6 petang ini.

Di KEDAH, Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah berangkat menunaikan solat Aidilfitri di Masjid Zahir, Alor Setar, yang diimamkan Imam Besar masjid itu, Datuk Syeikh Roslan Abdul Halim.

Di PAHANG, Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid negeri Masjid Sultan Ahmad Shah di sini bersama lebih 5,000 jemaah.

Di KELANTAN, Sultan Kelantan Sultan Muhammad V berangkat menunaikan solat Aidilfitri di masjid negeri Masjid Muhammadi di Kota Baharu bersama kira-kira 5,000 jemaah.

Di SARAWAK, Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri Toh Puan Raghad Kurdi Taib menunaikan solat Aidilfitri di Masjid Jamek, Petra Jaya dekat Kuching.

Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem pula mengadakan majlis yang sama di Pusat Konvensyen Borneo Kuching dari 10 pagi sehingga 4 petang.

Di TERENGGANU, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Nur Zahirah berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Almuktafi-Billah Shah di Kuala Terengganu bersama kira-kira 3,000 jemaah.

Di PERLIS, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negeri Arau bersama ribuan umat Islam.

Di PULAU PINANG, Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negeri bersama lebih 1,000 jemaah.

Di MELAKA, cuaca mendung dan hujan tidak menjejaskan kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob, Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron, barisan exco dan pegawai kanan kerajaan negeri menyertai kira-kira 8,000 umat Islam menunaikan solat sunat di Masjid Al Azim, Bukit Palah.

Di SELANGOR, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama lebih 6,000 umat Islam di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam.

Di SABAH, kira-kira 5,000 tetamu menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahirudin dan isteri, Toh Puan Norlidah Datuk R M Jasni di Istana Negeri di Kota Kinabalu. - BERNAMA

Berita Harian X