Ahad, 10 Julai 2016 | 5:54pm
RUMINAH Amir, 36, yang mengandung lapan bulan dipangku pengguna jalan raya sementara menunggu ketibaan ambulans selepas terbabit kemalangan di Jalan Besar FELDA di Pasoh Satu, Jelebu, pagi tadi.
RUMINAH Amir, 36, yang mengandung lapan bulan dipangku pengguna jalan raya sementara menunggu ketibaan ambulans selepas terbabit kemalangan di Jalan Besar FELDA di Pasoh Satu, Jelebu, pagi tadi.

Jururawat, bayi selamat jalani pembedahan akibat kemalangan

KUALA KLAWANG: Seorang jururawat terpaksa menjalani pembedahan bagi menyelamatkan kandungannya yang berusia lapan bulan selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Besar FELDA di Pasoh Satu di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 6.15 pagi itu, Ruminah Amir, 36, yang dalam perjalanan ke tempat kerja di Hospital Jelebu, cedera pada tulang pinggul dan patah kaki kanan, selain mengalami pendarahan, selepas keretanya bertembung dengan sebuah lagi kereta dari arah bertentangan.

Jurucakap polis berkata, mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah di Kuala Pilah untuk rawatan lanjut dan selamat menjalani pembedahan pada jam 11.50 pagi.

"Bayi itu berada dalam keadaan stabil walaupun dilahirkan pramatang. Dia kini dipantau dengan rapi oleh pasukan perubatan hospital berkenaan," katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Othman Basri, berkata pihaknya masih menyiasat lanjut punca kejadian itu mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X