Isnin, 1 Ogos 2016 | 6:03pm
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rohani Abdul Karim (tengah) dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Roslee Daud (dua kanan) berselfie bersama dengan penerima-penerima sijil di Program Seminar Literasi Udang-Undang (LUU) Dan Pelancaran Pra Sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2016 di Balai Kenangan, Terengganu Equestrian Resort (TER). - Foto Aswadi Alias

Jangan jadikan anak tontonan umum

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan. Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri, Rohani Abdul Karim (dua kiri) beramah mesra dengan Halimah Awang Kechik, 89 yang uzur dan terlantar dan diperhatikan 'Home Manager', Samihah Adli, 24 (kiri) pada lawatan (KPWKM) ke Rumah Majikan 'Home Manager' di Kampung Tok Ku Chabang Tiga. - Foto Aswadi Alias

KUALA TERENGGANU: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim menasihatkan ibu bapa supaya tidak menjadikan anak mereka sebagai tontonan umum di laman sosial kerana ia boleh menyebabkan kanak-kanak terbabit menjadi mangsa pedofilia.

Beliau berkata, keghairahan ibu bapa memuat naik gambar anak masing-masing setiap masa termasuk membuka laman sosial khas untuk mereka tanpa disedari mendedahkan kanak-kanak terbabit kepada bahaya kerana ramai golongan pedofilia tidak dapat dikesan dan dikenali.

Justeru, katanya, ibu bapa perlu lebih berhati-hati dan mengambil berat perkara ini kerana ia membabitkan keselamatan anak mereka.

"Saya faham ada kalanya ibu bapa seronok kerana anak cantik dan mahu berkongsi kegembiraan tetapi ada individu di luar sana yang melihat dan menggunakan gambar ini sebagai sebahagian daripada kegiatan tidak baik.

"Jadi, tidak perlu kita membuka laman sosial khas untuk anak kerana ia akan mendedahkan mereka kepada bahaya dan jika hendak dimuat naik gambar pun, jadikanlah ia sebagai 'private' bagi mengelak dipergunakan golongan tidak bertanggungjawab.

"Mengikut peraturan Google atau laman sosial mana pun, mereka yang berumur bawah 18 tahun memang tidak dibenarkan mempunyai akaun sendiri tetapi ibu bapa yang membukakan akaun untuk anak mereka.

"Malah, ada anak yang baru lahir sudah ada akaun Instagram atau Facebook," katanya selepas Program Seminar Literasi Undang-Undang (LLU) dan Pelancaran Prasambutan Hari Wanita Kebangsaan 2016 di sini, hari ini.

Tema sambutan Hari Wanita tahun ini yang bakal disambut pada 25 Ogos ialah 'Sepadu Usaha: Tiada Wanita Ketinggalan'.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Terengganu, Roslee Daud.

Rohani berkata, sebelum ini terdapat kes gambar anak kecil diambil daripada laman sosial dijadikan katalog pedofilia untuk tujuan tertentu dan disebarkan melalui laman web.

"Kita sedang bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyiasat perkara ini. Ada ibu bapa yang terkejut apabila melihat gambar anak mereka termasuk dalam katalog itu," katanya.

Berita Harian X