Ahad, 7 Ogos 2016 | 6:28pm

Pokemon tidak dibenarkan 'masuk' ke sekolah

AHLI Majlis Tertinggi UMNO merangkap Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berucap pada sesi sidang media ketika hadir ke Majlis Perasmian Serentak Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Jelebu di Kuala Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan. - Foto Iqmal Haqim Rosman

KUALA KLAWANG: Permainan siber Pokemon dan Pokemon Go tidak dibenarkan dimainkan di dalam kawasan sekolah, kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata, perkara itu selaras larangan terhadap pelajar membawa telefon pintar atau telefon bimbit ke sekolah yang dikuatkuasakan selama ini.

"Sejak dahulu kita memang tidak membenarkan telefon bimbit dibawa ke sekolah, tapi dengan trend permainan siber ini sekarang, kita mahu pihak sekolah lebih tegas.

"Guru perlu merampas telefon bimbit pelajar jika mereka dikesan menggunakannya untuk bermain permainan siber itu," katanya selepas majlis perasmian serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Jelebu di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Bahagian UMNO Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri.

Terdahulu, ketika ucapan perasmian, Mahdzir menggesa semua ahli UMNO meningkatkan perpaduan demi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) tidak lama lagi.

Berita Harian X