Sabtu, 20 Ogos 2016 | 7:02pm

Dapur dewan makan MCKK disita

KUALA LUMPUR: Dapur dewan makan Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) disita, berkuat kuasa semalam susulan 53 pelajar institusi itu mengadu sakit perut dan cirit-birit.

Kementerian Pendidikan, dalam satu kenyataan hari ini, menjelaskan syarikat baharu dilantik bagi membekalkan makanan kepada pelajar MCKK sepanjang dapur asrama itu ditutup, selain pemeriksaan susulan daripada Jabatan Kesihatan mengenai kes terbabit, esok.

"Kes keracunan makanan di MCKK pada Khamis lalu membabitkan 51 pelajar Tingkatan 1 dan dua pelajar Tingkatan 4 yang mengadu sakit perut dan cirit-birit.

"Tiga pelajar dirujuk ke Hospital Kuala Kangsar oleh pasukan perubatan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), semalam manakala pelajar lain dirawat sebagai pesakit luar.

"Setakat ini, tiada kes baharu dilaporkan dan keadaan pelajar berkenaan semakin pulih. Makanan yang disyaki (punca masalah) masih dalam siasatan," menurut kenyataan itu.

Taklimat kepada semua murid dilaksanakan pengurusan sekolah, semalam bagi menjelaskan isu terbabit dan pelaksanaan langkah berjaga-jaga.

Warden asrama turut diarahkan untuk memantau keadaan pelajar yang menerima rawatan sebagai pesakit luar manakala pengurusan MCKK meneliti kerja pembersihan dapur dewan makan oleh kontraktor seperti arahan PKD Kuala Kangsar.

Berita Harian X