Selasa, 30 Ogos 2016 | 10:49pm

Sultan Perak, Raja Permaisuri sertai program Kayuhan Merdeka MBI

SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan menyertai program Kayuhan Merdeka Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) 2016 di Dataran MBI, di sini, malam ini. - Foto L Manimaran
SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan menyertai program Kayuhan Merdeka Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) 2016 di Dataran MBI, di sini, malam ini. - Foto L Manimaran

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat menyertai program Kayuhan Merdeka Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) 2016 di Dataran MBI, di sini, malam ini.

Baginda yang ditemani Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim menyertai kayuhan sejauh lapan kilometer pada jam 9 malam bermula dari lokasi itu dan mengakhiri kayuhan di lokasi sama setengah jam kemudian.

Antara laluan dilalui baginda ialah Jalan Sultan Abdul Jalil, Jalan Raja Dihilir dan Jalan Sultan Iskandar Shah.

Terdahulu, baginda turut berkenan melepaskan lebih 1,000 peserta kayuhan sejauh 20 kilometer dari lokasi sama.

Turut mengiringi baginda, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Datuk Bandar, Datuk Zamri Man.

Peserta kayuhan dari seluruh negeri termasuk pengamal media.

Program anjuran MBI dan kerajaan negeri itu turut mendapat kerjasama Tourism Malaysia, Tourism Perak dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Program kali ketiga itu satu daripada program sambutan ambang merdeka bertujuan memupuk semangat cintakan negara serta menyemai perpaduan antara kaum menerusi penganjuran program kayuhan berbasikal.

Baginda juga akan berangkat ke majlis Sambutan Ambang Merdeka 2016 peringkat negeri yang berlangsung di tempat sama.

Berita Harian X