Jumaat, 2 September 2016 | 9:12am

Banjir kilat di Bayan Lepas

KEADAAN depan Hotel Seri Malaysia Jalan Mayang Pasir 2, Bayan Baru yang dilanda banjir kilat akibat hujan lebat awal pagi tadi. - Foto Ihsan Pembaca
KEADAAN depan Hotel Seri Malaysia Jalan Mayang Pasir 2, Bayan Baru yang dilanda banjir kilat akibat hujan lebat awal pagi tadi. - Foto Ihsan Pembaca

BAYAN LEPAS: Hujan lebat sejak jam 6 pagi tadi, mengakibatkan beberapa kawasan dan jalan utama sekitar daerah Barat Daya dinaiki air.

Antara kawasan dilaporkan dilanda banjir kilat adalah di Teluk Kumbar, Bayan Baru, Batu Maung serta Kawasan Perindustrian Bayan Lepas.

Banjir kilat antara 0.5 meter hingga satu meter mengakibatkan aliran trafik di Bayan Lepas mengalami kesesakan teruk berikutan beberapa jalan terpaksa ditutup.

Pegawai Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Barat Daya, Noor Mohd Saidi Noor Lajis, berkata pemantauan pihaknya mendapati Jalan Bayan Baru terpaksa ditutup selepas dinaiki air hampir satu meter.

"Air mulai surut namun kita masih berjaga-jaga berikutan hujan renyai masih berlaku sekitar daerah ini.

"Kita sudah menempatkan beberapa anggota di lokasi dinaiki air bagi mengawal keselamatan dan membantu mengalih kenderaan yang terperangkap," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Berita Harian X