Sabtu, 10 September 2016 | 2:29pm
GAMBAR viral Normah Salleh membawa pelajarnya ke dewan untuk menduduki peperiksaan.
GAMBAR viral Normah Salleh membawa pelajarnya ke dewan untuk menduduki peperiksaan.

Guru prihatin bantu calon UPSR jadi perhatian

GURU, Normah Salleh. - Foto Farizul Hafiz Awang
GURU, Normah Salleh. - Foto Farizul Hafiz Awang

ROMPIN: Keprihatinan seorang guru membantu muridnya yang menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Sekolah Kebangsaan (SK) Leban Chondong, dekat sini yang lewat hadir mendapat perhatian orang ramai apabila gambar itu dimuat naik di laman sosial, baru-baru ini.

Guru berkenaan, Normah Salleh, 37, berkata gambar itu diambil ketika beliau membantu pelajarnya, Beh Jum Jig a/l Beh Lai Huak yang lewat sampai ke sekolah bagi menduduki UPSR pada Rabu lalu.

"Pelajar itu tiba ke sekolah jam 8.28 pagi dan ketika itu peperiksaan sudah dijalankan... saya segera membawanya ke dewan untuk menduduki peperiksaan dan ia dibenarkan oleh pengawas bertugas.

"Pelajar itu adalah seorang calon Orang Asli (OA), berasal dari Kampung Belangkap, Rompin... jarak rumah pelajar itu ke sekolah kira-kira 20 minit," katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Dahlia, Rompin, di sini, petang tadi.

Normah berkata, tindakannya membantu pelajar terbabit ialah untuk memastikan anak didiknya itu tidak ketinggalan menduduki kertas mata pelajaran Matematik pada hari berkenaan.

Sementara itu, guru yang berasal dari Bintulu, Sarawak itu berkata, beliau turut membantu tiga lagi calon UPSR dari sekolah itu dengan menumpangkan mereka di rumahnya sepanjang minggu peperiksaan dijalankan.

Mereka ialah Fatimah a/p Bayo dari Kampung Kerpal, Anna Devi a/p Saravanan (Kampung Pinang) dan Tweeni a/p Tan Beng Hai dari Kampung Belangkap.

"Pelajar ini tinggal di rumah saya sepanjang tempoh UPSR berlangsung dan saya memberikan latihan ulangkaji kepada mereka sebagai persediaan menjawab soalan untuk peperiksaan keesokannya.

"Selain itu, ini adalah inisiatif sendiri sebagai seorang guru untuk memastikan mereka tidak tercicir daripada menduduki peperiksaan disebabkan masalah kewangan yang di hadapi," katanya.

Berita Harian X