X
Jumaat, 16 September 2016 | 5:00pm

Kelahiran bayi Hari Malaysia disambut penuh bermakna

PENGARAH Kesihatan negeri, Datuk Dr Ghazali Othman (tengah) bergambar kenangan bersama kakitangan dan bayi-bayi Hari Malaysia di Hospital Melaka. - Foto Khairunisah Lokman
PENGARAH Kesihatan negeri, Datuk Dr Ghazali Othman (tengah) bergambar kenangan bersama kakitangan dan bayi-bayi Hari Malaysia di Hospital Melaka. - Foto Khairunisah Lokman

KUALA LUMPUR: Putera Najib, itu antara nama pilihan seorang bapa selepas isterinya melahirkan seorang bayi lelaki di Hospital Pulau Pinang (HPP), hari ini, iaitu ulang tahun Hari Malaysia.

Mohd Saiful Abdul Azizi, 32, berkata beliau sangat gembira dengan kelahiran bayi lelakinya seberat 2.5 kilogram (kg) dan bercadang memberikan nama Putera Najib kepada anak kelimanya itu.

"Isteri saya, Puteri Nur Ariyani Saiful Yazan, 30, selamat melahirkan bayi pada jam 3.03 pagi tadi dan kebetulan hari ini pula adalah Hari Malaysia. Nama yang berada dalam fikiran saya sekarang ialah Putera Najib, sempena nama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak," katanya ketika ditemui di HPP.

Seramai 11 bayi Hari Malaysia dilahirkan di HPP sejak jam 12 tengah malam tadi. Ia membabitkan empat bayi lelaki dan tujuh bayi perempuan, setakat jam 1 petang hari ini.

Di Kota Kinabalu, seramai 15 bayi dilahirkan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) di Likas, sejak jam 12 tengah malam tadi, membabitkan 10 bayi perempuan dan lima lelaki setakat jam 12 tengah hari ini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Datuk Jainab Ahmad Ayid turut mengadakan lawatan ke HWKKS, bagi melihat bayi yang dilahirkan sempena Hari Malaysia, sambil menyampaikan barangan keperluan bayi dan makanan hasil sumbangan Pasaraya Giant.

Jainab berharap program itu mampu mengingatkan rakyat mengenai sejarah pembentukan Malaysia yang disambut pada setiap 16 September.

"Selain meraikan bayi yang baharu lahir, saya berharap keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di Sabah dapat dikekalkan," katanya.

Di Melaka, seramai 13 bayi terdiri daripada sembilan bayi perempuan dan empat bayi lelaki dilahirkan di Hospital Melaka, di sini, hari ini, antara jam 12.30 tengah malam hingga jam 7 pagi tadi.

Seorang ibu, B Thanam, 26, melahirkan bayi lelaki yang juga anak ketiganya pada jam 1.04 pagi dengan bayi seberat 2.2 kg selepas dimasukkan ke hospital berikutan mengalami batuk serta kontraksi untuk bersalin.

"Saya sepatutnya melahirkan bayi pada pertengahan Oktober ini. Kelahiran awal ini lebih bermakna kerana anak ketiga ini lahir pada 16 September. Setakat ini, saya dan suami, R Sundramoorthi, 38, belum ada nama yang sesuai untuk anak," katanya yang ditemui di Wad Bersalin, Hospital Melaka, di sini.

Di Klang, seorang wanita, Noorazlin Mohamad Yusof, 35, gembira apabila anak keempatnya dilahirkan pada tarikh 16 September, sempena sambutan Hari Malaysia.

Katanya, anak perempuannya itu dilahirkan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini, pada jam 12.21 tengah malam tadi,

"Saya amat gembira dengan kelahiran anak keempat saya ini. Buat masa ini, saya dan suami, Mohd Paizal Muhammad, 34, belum memikirkan nama untuk puteri kami ini. Ketika dilahirkan, berat bayi saya adalah 2.5 kg," katanya ketika ditemui semalam.

Sehingga jam 12 tengah hari ini, seramai 14 bayi dilahirkan di HTAR iaitu tujuh lelaki dan tujuh perempuan.

Di Kuantan, seramai 26 bayi Hari Malaysia masing-masing 13 lelaki dan perempuan dilahirkan di hospital kerajaan sekitar negeri ini sejak jam 12 tengah malam tadi sehingga 10 pagi tadi.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, berkata daripada jumlah itu, empat adalah anak Orang Asli dengan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini merekodkan kelahiran tertinggi iaitu seramai 11 bayi.

"Ia diikuti dengan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAH), Temerloh dengan lima bayi, Hospital Pekan dan Hospital Muadzam Shah (3), Hospital Kuala Lipis (2), dan masing-masing satu kelahiran di Hospital Bentong serta Hospital Raub.

"Bayi Hari Malaysia pertama dilahirkan di HTAA, bayi lelaki seberat 3.05 kg itu dilahirkan tepat pada jam 12 tengah malam," katanya dalam kenyataan media di sini, sebentar tadi.

Di Ipoh, seramai 14 bayi lelaki dan lapan perempuan dilahirkan di tiga hospital di sini sejak tengah malam tadi hingga jam 2 petang ini.

Seramai 17 bayi berkenaan dilahirkan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Hospital Pantai Ipoh (4) dan seorang bayi di Hospital Pakar Ipoh.

Berita Harian X