Selasa, 20 September 2016 | 8:52pm

Penduduk dekat pantai dinasihat berjaga-jaga - Madius

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Madius Tangau. - Foto NSTP/Malai Rosmah Tuah
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Madius Tangau. - Foto NSTP/Malai Rosmah Tuah

SHAH ALAM: Penduduk yang menetap di kawasan berhampiran pantai di sepanjang pantai Barat Semenanjung dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Madius Tangau, dalam satu kenyataan media, berkata ia berikutan kesan tiga fenomena alam, angin kencang dan ribut petir; ombak kuat serta fenomena air pasang besar menyebabkan kawasan rendah berhampiran pantai ditenggelami air.

Katanya, MetMalaysia di bawah kementeriannya sebelum ini sudah mengeluarkan Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora mulai 14 September.

"Angin Barat Daya dengan kelajuan 40-50 kilometer sejam (kmsj) dengan ombak besar mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Phuket, iaitu kawasan barat laut Semenanjung Malaysia sehingga Rabu, 21 September 2016.

"Semasa Monsun Barat Daya kerap berlaku fenomena garis badai (sekumpulan barisan awan ribut petir) yang boleh menyebabkan kejadian ribut petir berserta angin kencang dan ombak (setinggi) 3.5 meter di kawasan pesisiran pantai negeri Pantai Barat Semenanjung Malaysia di Selat Melaka, pada awal pagi.

"Sekarang ini turut berlaku kejadian air pasang besar disebabkan oleh kedudukan bulan yang terdekat dengan bumi (perigee) dan bulan purnama," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Madius berkata, selain mengambil langkah berjaga-jaga, penduduk di kawasan terbabit juga dinasihatkan mengikuti perkembangan cuaca semasa dengan mendapatkan maklumat terkini melalui laman web Jabatan Meteorologi Malaysia di www.met.gov.my atau aplikasi myCuaca, laman sosial Facebook malaysiamet, Twitter @malaysiamet atau Talian MetMalaysia 1 300 22 1MET(1638).

Berita Harian X