Jumaat, 30 September 2016 | 3:52pm

Penulis Jepun, Syria antara calon Hadiah Nobel Kesusasteraan

PENYAIR Syria, Adonis. - Foto AFP
PENYAIR Syria, Adonis. - Foto AFP

STOCKHOLM: Pengarang Jepun, penyair Syria, novelis Kenya dan penulis Amerika Syarikat (AS) antara menjadi spekulasi calon yang bakal menerima Hadiah Nobel Kesusasteraan yang akan diumumkan pada minggu depan.

Antara nama yang disebut-sebut dalam lingkungan sastera Stockholm ialah Haruki Murakami (Jepun); Adonis (Syria) dan Ngugi wa Thiong'o (Kenya), selain pengarang AS, iaitu Don DeLillo, Philip Roth dan Joyce Carol Oates.

Nama lain yang muncul ialah pengarang British, Salman Rushdie; Ismael Kadare (Albania); David Grossman (Israel); Milan Kundera (Perancis) and dramatis Jon Fosse (Norway).

Akademi Sweden yang menganugerahkan hadiah sastera itu, dianggap sama ada akan memilih calon yang sudah lama disebut-sebut dalam spekulasi Nobel atau individu yang akan betul-betul mengejutkan, kata Editor Budaya Dagens Nyheter, Bjorn Wiman.

"Saya fikir ia akan menjadi milik Fosse. Beliau eksklusif, agak eksperimental dan sudah terlalu lama dramatis tidak memenangi hadiah itu," katanya.

Dramatis paling terakhir memenanginya ialah Harold Pinter dari Britain pada tahun 2005.

Pengkritik sastera akhbar Svenska Dagbladet dari Sweden, Madelaine Levy, berkata sejak akhir-akhir ini, penerimanya kurang diwakili dari AS dengan penerima terakhir negara berkenaan ialah Toni Morrison pada tahun 1993.

"Ini mungkin disebabkan struktur penulisan mereka terlalu mirip kepada Hollywood dan boleh dianggap bukan karya sastera, selain sebahagiannya terlalu produktif," katanya.

Sementara itu, pengkritik sastera dan novelis Sweden, Sigrid Combuchen hanya menyifatkan spekulasi itu tidak lebih daripada permainan meneka-neka.

"Tindakan spekulasi nama pemenang betul-betul kerja bodoh. Ia ibarat meminta Santa Claus untuk memberitahu kita tentang apa yang ada dalam guninya," katanya.

Pada tahun lalu, Akademi Sweden menobatkan penulis Belarus, Svetlana Alexievich.

Selain kesusasteraan, Hadiah Nobel turut memberikan anugerah dalam bidang perubatan yang akan diumumkan bermula Isnin depan, diikuti oleh fizik (Selasa) dan kimia (Rabu). Tarikh untuk hadiah kesusasteraan belum diumumkan tetapi kebiasaannya ia akan dibuat pada Khamis.

Hadiah keamanan akan diumumkan pada 7 Oktober ini dan hadiah ekonomi akan menutup pengumuman pada 10 Oktober.

Pada tahun ini, setiap pemenang akan menerima 8 juta kronor Sweden (RM3.9 juta) dan penerima akan berkongsi sekiranya ada lebih daripada seorang dalam setiap bidang. - AFP

Berita Harian X