Rabu, 5 Oktober 2016 | 5:56pm

DBP impi bahasa Melayu diberi keutamaan dalam acara rasmi

SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan ke Majlis Titah Diraja di Dewan Bahasa Pustaka. Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (kiri), Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Abdul Adzis Abas (kanan) dan Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pusaka, Prof. Datuk Seri Dr Md Salleh Yaapar (dua dari kanan). - Foto Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berpendapat penarafan dan pemerkasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan masih belum mantap serta meluas ketika ini.

Ketua Pengarahnya, Abdul Adzis Abas, berkata kemantapan bahasa kebangsaan dalam sistem bernegara juga masih belum boleh dibanggakan dan jauh daripada pencapaian kegemilangannya.

Katanya, peranan Bahasa Melayu dalam pembinaan negara bangsa berasaskan tiga kedudukan utama iaitu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu.

"Justeru, kedudukan Bahasa Melayu seperti termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan hendaklah dipertahan dan diperkukuhkan dalam semua sektor pentadbiran, pendidikan, media, undang-undang, ekonomi dan perhubungan awam.

"Menjadi impian bagi DBP agar Bahasa Melayu diberi keutamaan dalam semua acara rasmi berlangsung di negara ini. DBP juga mendambakan Bahasa Melayu menjadi salah satu bahasa utama dunia aau salah satu bahasa ASEAN," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Titah Diraja disampaikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah anjuran DBP, hari ini.

Abdul Adzis berkata, DBP yang berusia genap 60 tahun pada tahun ini, akan meneruskan iltizam memberikan sumbangan kepada pembinaan sebuah negara bangsa.

Berita Harian X