Sabtu, 8 Oktober 2016 | 9:18pm

RISDA hanya keluar logo Produk Muslim

ALOR SETAR: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) tidak mengeluarkan logo halal sebaliknya hanya logo Produk Muslim bagi membantu usahawan yang gagal mendapatkan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Pengerusinya, Datuk Zahidi Zainul Abidin, berkata logo itu dikeluarkan RISDA dengan kerjasama Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM) melalui pemeriksaan ketat.

"Pihak kami akan melakukan pemantauan dan pemeriksaan ketat terhadap produk usahawan yang memiliki logo Produk Muslim ini. Logo yang dikeluarkan oleh RISDA akan melalui proses pemeriksaan ketat di INTEM (Inkubator Teknologi Makanan MARA) yang mempunyai peralatan canggih untuk memeriksa kebersihan makanan dan bahan yang digunakan seiring dengan tuntutan agama.

"Pemeriksaan di INTEM ini akan diberikan secara percuma kepada usahawan Muslim kerana kita mahu produk mereka diyakini oleh pengguna Muslim lain dengan pemantauan ketat daripada kita selain memastikan tidak ada pihak yang mengambil kesempatan untuk mendapatkan logo ini," katanya.

Terdahulu, Zahidi merasmikan Karnival Usahawan RISDA Negeri Kedah 2016, di sini.

Sebelum ini, Ketua Pengarah JAKIM, Tan Sri Othman Mustafa, meminta RISDA memberi penjelasan mengenai tindakan mengeluarkan logo halal selain logo yang dikeluarkan JAKIM kerana ia bercanggah dengan Akta Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) Perintah 201.

Berita Harian X