X
Khamis, 13 Oktober 2016 | 9:29pm

Ikon muzik Bob Dylan terima Hadiah Nobel Kesusasteraan

PENYANYI, penulis lirik dan pemuzik kelahiran Minnesota Amerika Syarikat, Bob Dylan. - Foto AFP
PENYANYI, penulis lirik dan pemuzik kelahiran Minnesota Amerika Syarikat, Bob Dylan. - Foto AFP

STOCKHOLM: Penyanyi, penulis lirik dan pemuzik kelahiran Minnesota Amerika Syarikat, Bob Dylan mencipta kejutan apabila diumumkan sebagai penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan bagi tahun 2016.

Pemilihan ikon muzik itu diumumkan oleh Setiausaha Tetap Akademi Sweden, Prof Sara Danius yang turut disiarkan secara langsung menerusi laman web nobelprize.org pada jam 7.03 malam waktu Malaysia.

Pemilihan Dylan memecah tradisi Hadiah Nobel Kesusasteraan yang sebelum ini hanya memberi pengiktirafan kepada pengarang fiksyen dan genre sejarah sahaja.

Danius dalam temubual sejurus pengumuman itu menyebut Dylan dipilih kerana lirik yang dihasilkan beliau sangat puitis dan berfalsafah.

"Dylan adalah penyair yang berpengaruh dalam tradisi sastera Inggeris. Beliau sentiasa muncul dengan karya yang baik dan mampu bertahan hingga kini sejak lima dekad lalu.

"Jika anda belum mendengar karya Dylan, mulakan "Blonde on Blonde",katanya.

Sebagai seorang pemuzik, Dylan berjaya menjual 100 juta buah album yang menjadikan beliau pemuzik terlaris sepanjang zaman selain dikenali sebagai penulis lirik berpengaruh dengan karya awal tulisan beliau diangkat sebagai lagu tema untuk perjuangan hak asasi di Amerika selain pergerakan anti peperangan.

Kemenangan Dylan menyaksikan beliau mengenepikan nama besar kesusasteraan antarabangsa seperti novelis urban kontemporari Jepun, Haruki Murakami, penyair Syria, Adonis; novelis Kenya Ngugi wa Thiong'o selain novelis Amerika, Philip Roth dan Joyce Carol Oates serta pengarang Perancis, Milan Kundera.

Susulan kemenangan itu, Dylan bakal menerima RM3.8 juta selain peluang makan malam bersama Raja Sweden, Raja Carl XVI Gustaf Disember nanti.

Hadiah Nobel (Kesusasteraan) diselenggarakan oleh Akademi Sweden diasaskan pada 1786 oleh Raja Gustaf III. Setiap tahun ratusan nama pengarang dicalonkan untuk menerima pengiktirafan itu tetapi hanya 20 nama sahaja akan dipilih menjelang April sebelum ia dikurangkan kepada lima pencalonan sahaja sekitar September sebelum pemilihan akhir akan dibuat menerusi undian oleh 18 ahli Akademi Sweden.

Berita Harian X