Khamis, 13 Oktober 2016 | 11:19pm

Lima Pemimpin Terima Tokoh Alumni USM

PENERIMA anugerah Tokoh Alumni Universiti Sains Malaysia (USM), Kishva Ambigapathy. - Foto Ghazali Kori
PENERIMA anugerah Tokoh Alumni Universiti Sains Malaysia (USM), Kishva Ambigapathy. - Foto Ghazali Kori

KUALA LUMPUR: Pengerusi Majlis Belia Komanwel (CYC) sesi 2015-2017, Kishva Ambigapathy, 26, calon termuda mengetuai senarai lima pemimpin yang menerima anugerah Tokoh Alumni Universiti Sains Malaysia (USM).

Penerima lain, bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed; Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia dan Presiden International Movement for a Just World (JUST), Dr Chandra Muzaffa.

Alumni USM turut meraikan sasterawan wanita pertama negara, Datuk Dr Zurinah Hassan dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr Madinah Mohamad.

Anugerah disampaikan Canselor USM, Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Presiden Persatuan Alumni USM, Prof Tan Sri Dzulkifli Razak, berkata tokoh terdiri daripada alumni USM iaitu, Kishva adalah graduan Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektronik pada 2013; Abu Kassim - graduan Pusat Pengajian Sains Sosial 1984; Chandra - Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan 1974; Zurinah - Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan 1974 manakala, Madinah - Pusat Pengajian Sains Politik 1979.

Beliau berkata, pemilihan tokoh membabitkan beberapa kriteria antaranya, mendokong kejayaan unik dalam bidang masing-masing dan terbabit menyumbangkan kepakaran kepada komuniti.

Berita Harian X