Jumaat, 14 Oktober 2016 | 7:18pm

18 barang kawalan harga sempena Deepavali

DATUK Seri Hamzah Zainuddin pada sidang media khas pengumuman harga maksimum barangan harga terkawal Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali 2016, di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Rosela Ismail
DATUK Seri Hamzah Zainuddin pada sidang media khas pengumuman harga maksimum barangan harga terkawal Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali 2016, di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Rosela Ismail

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menetapkan 18 jenis barang Skim Kawalan Harga sempena perayaan Deepavali pada 29 Oktober ini.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata skim kawalan harga itu dilaksanakan dalam tempoh 14 hari berkuat kuasa 19 Oktober hingga 1 November ini, mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Beliau berkata, barangan itu adalah ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, B dan C, daging kambing tempatan bertulang, daging kambing biri-biri import bertulang, daging kambing biri-biri import tanpa tulang dan daging paha kambing biri-biri import bertulang.

Selain itu katanya, tomato, cili merah, kelapa biji peringkat borong dan kelapa parut peringkat runcit, bawang merah kecil dari India, bawang besar import, ubi kentang dari China dan kacang dhal dari Australia juga termasuk dalam Skim Kawalan Harga.

"Harga maksimum ditentukan bagi 18 barangan itu mencakupi 89 daerah di Semenanjung, 32 daerah di Sarawak, 27 daerah di Sabah dan satu daerah di Labuan.

"Penguatkuasaan Skim Kawalan Harga ini bertujuan mengelakkan peniaga dan pekedai mengambil kesempatan menaikkan harga barangan berkenaan, selain memastikan bekalan barangan terkawal mencukupi di pasaran," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas pengumuman harga maksimum barangan harga terkawal Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali 2016, di sini, hari ini.

Berita Harian X