Sabtu, 22 Oktober 2016 | 3:24pm

Graduan penyumbang pembangunan, masa depan negara

RAJA Zarith Sofiah menyampaikan ijazah kepada pelajar pada Majlis konvokesyen ke-57 UTM, di Skudai, hari ini. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin
RAJA Zarith Sofiah menyampaikan ijazah kepada pelajar pada Majlis konvokesyen ke-57 UTM, di Skudai, hari ini. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

JOHOR BAHRU: Graduan berperanan penting dalam menyumbang terhadap pembangunan dan masa depan negara, sekali gus menjayakan misi negara ke arah Wawasan 2020.

Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, yang juga Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), berharap graduan akan memanfaatkan ijazah diperoleh bagi mencorak, memimpin dan menjalankan amanah pekerjaan masing-masing, seterusnya menjadikan Malaysia sebagai negara maju.

"Ijazah diterima amat tinggi signifikannya kepada graduan. Pembangunan dan masa depan negara dicintai akan dicorak, dipimpin dan diteruskan legasinya berdasarkan ilmu dipelajari.

"Saya percaya kemudahan dan bantuan pelajaran yang disediakan, termasuk Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Tabung Canselor 'Because We Care', tabung dan Skim Bantuan Pendaftaran oleh kerajaan Johor akan membuka peluang rakyat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Konvokesyen Ke-57 UTM, di sini, hari ini.

Pada konvokesyen kali ini, seramai 5,467 graduan, termasuk 349 graduan antarabangsa dari 35 negara menerima ijazah doktor falsafah, ijazah sarjana, ijazah sarjana muda dan diploma masing-masing.

Raja Zarith Sofiah turut mengingatkan graduan supaya menguasai bahasa Inggeris untuk menjadikan mereka lebih menonjol dan menyerlah dalam dunia pekerjaan.

"Saya berbangga apabila ramai anak Malaysia berjaya menempa nama, kejayaan dan pengiktirafan di peringkat antarabangsa, sekali gus berjaya menguasai bahasa lingua franca (bahasa pengantara) ini dengan fasih.

"Saya mengesyorkan semua kakitangan akademik dan pentadbiran menguasai kemahiran berkomunikasi dalam bahasa Inggeris supaya urusan dengan pihak luar dapat disempurnakan dengan lancar," titah baginda.

Berita Harian X