Sabtu, 22 Oktober 2016 | 7:55pm

DPTN langkah perkasa 1,000 madrasah tahfiz - PINTA

BARISAN pemimpin Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA). - Foto ihsan PINTA
BARISAN pemimpin Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA). - Foto ihsan PINTA

KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA) menganggap penyelarasan pendidikan tahfiz melalui Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) adalah langkah permulaan mengukuhkan kualiti pendidikan di madrasah tahfiz seluruh negara.

Presidennya, Mohd Zahid Mahmood Al-Hafiz, berkata dasar itu juga dilihat mampu memperkasa dan membela kebajikan lebih 1,000 madrasah tahfiz persendirian di seluruh negara.

"PINTA bersedia bekerjasama kepada semua pihak terutama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi memastikan DPTN akan menjadi satu dasar terbaik bukan sekadar menyelaras dan mengawal tetapi benar-benar meletakkan pendidikan tahfiz al-Quran di tempat yang sewajarnya di negara ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam Bajet 2017, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan inisiatif berjumlah RM30 juta untuk menyelaras pendidikan tahfiz melalui DPTN.

"Ini adalah pertama kali kerajaan memperuntukkan bajet khusus bagi meningkatkan pendidikan tahfiz negara ini. DPTN hendaklah benar mencerminkan serta mendukung falsafah dan konsep pendidikan tahfiz," kata Mohd Zahid.

Berita Harian X